BEKAS pembantu ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP didakwa atas percubaan merogol seorang pelayan sambilan berusia 21 tahun di Mahkamah Majistret di George Town hari ini.
L. Prem Anand, 50 yang merupakan ahli DAP, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Julai pada kira-kira jam 11.30 malam di sebuah tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai.
Tertuduh kelihatan tenang ketika mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu serangan atau penggunaan kekerasan terhadap seseorang dengan niat jahat.
Sekiranya disabitkan bersalah, dia menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebatan atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis pada setiap minggu.
Beliau juga meminta mahkamah untuk menyekatnya daripada menghubungi mangsa yang juga merupakan seorang pelajar kolej swasta.
Peguam Prem, E. Gnasegaran kemudian berhujah bahawa jaminan yang bertujuan untuk memastikan kehadiran di mahkamah dan bukan tindakan menghukum itu terlalu tinggi. Gnasegaran meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 dan tanpa syarat yang dikenakan.
Dia juga berkata kliennya memberi kerjasama kepada polis dan tidak menghubungi wanita itu.
Majistret Catherine Nicholas menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula.
Gnasegaran dibantu S. Rethinakumar dan Audrey Wee. Sementara itu, peguam Baljit Singh sebagai pemerhati bagi pihak mangsa.
Kes itu menarik perhatian media kerana hubungan tertuduh dengan DAP dan pernah menjadi ahli majlis bandaraya.
Pada masa kejadian, tertuduh adalah pengerusi jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung (JKKK) Paya Terubong.
Dalam sidang akhbar pada Jumaat lepas, mangsa memberitahu media dia berjaya mengenal pasti tertuduh kerana tertuduh meninggalkan kad perniagaannya sebelum ini ketika.
Dia mendakwa, selepas memfailkan laporan polis terhadap tertuduh pada hari berikutnya, tertuduh cuba membayarnya untuk menyelesaikan perkara tersebut melalui pihak ketiga yang menghubungi tempat kerjanya. – 18 Julai, 2017.
Komen