Poster kata Azmin tanding presiden palsu, kata pemimpin PKR


Nabihah Hamid

Sebuah poster meletakkan barisan baharu calon pemilihan turut meletakkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari bertanding jawatan naib presiden. – 18 Julai, 2018.

PIMPINAN parti PKR menafikan sebuah poster yang menampilkan Mohamed Azmin Ali bakal bertanding jawatan presiden manakala Zuraida Kamaruddin bakal bertanding bagi timbalan presiden. 

Sebuah poster meletakkan barisan baharu calon pemilihan turut meletakkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari bertanding jawatan naib presiden. 

“Saya yakin poster ini palsu. Ia cubaan mengadu domba (melaga-lagakan) keharmonian dalam parti,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp. 

Dalam pada itu, sumber memberitahu Azmin akan mempertahankan jawatan timbalan presiden manakala menteri besar Selangor akan bertanding Majlis Pimpinan Pusat (MPP). 

“Azmin akan pertahan timbalan dan MB akan bertanding MPP bukan naib presiden,” kata individu yang enggan namanya didedahkan. 

Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini masih belum membuat keputusan selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan ketua Wanita PKR. 

Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Soffian Mohd Shariff bagaimanapun menafikan poster tersebut datang dari pihaknya. 

“Poster tersebut palsu. Memang kami tak buat dan maklumat dekat poster itu juga tak benar,” katanya. 

Turut mengesahkan poster tersebut palsu, Tian Chua mengatakan kehadiran poster itu hanyalah untuk memecahbelahkan parti. 

“Ia palsu, dan ada orang berniat jahat,” katanya yang turut diletakkan dalam poster tersebut untuk bertanding naib presiden.

Beliau sebelum ini dalam laporan Free Malaysia Today berkata Azmin tidak mungkin akan mencabar Anwar kerana beliau adalah seorang yang setia. 

Bekas ahli Parlimen Batu itu turut menafikan wujudnya Kem Anwar, Azmin dan Rafizi Ramli. 

“Apa perlunya Anwar lawan Azmin? Siapa tidak tahu Azmin adalah orang Anwar yang paling setia. Saya rasa lucu jika ada yang kata wujud kem Azmin dan kem Anwar.

“Di antara semua bekas pembantu politik Anwar, hanya Azmin yang kekal selepas dua dekad. Apabila Anwar masuk (dipilih sebagai presiden), maka Anwar akan angkat Azmin ke dalam kemnya, siapa lagi yang Anwar percaya?” katanya dipetik portal tersebut. – 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pengesahan telah dibuat menunjukan poster tersebut palsu, dah diharapkan masyarakat tidak terpedaya dengan poster tersebut...ini membuktikan ada manusia yang berniat jahat cuba untuk memecahbelahkan parti tersebut

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan