Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dijangka tidak akan mencabar ketua umum, Anwar Ibrahim dalam pertandingan untuk jawatan presiden parti.
Setiausaha politiknya Mohd Hilman Idham berkata Azmin sebaliknya mungkin hanya akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sebagai timbalan presiden.
“Dalam hal ini saya kira, selepas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden dalam PKR, saya dapati Datuk Seri Azmin sambut baik kenyataan tersebut.
“Saya kira beliau pasti akan menawarkan diri sekali lagi untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas saranan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini yang mencadangkan Azmin bertanding jawatan presiden.
Mengulas lanjut, Hilman berkata beliau cadangan seperti itu perkara biasa dan mana-mana pemimpin akan mencadangkan calon untuk bertanding jawatan tertentu.
Bagaimanapun, beliau yakin menteri hal ehwal ekonomi itu akan tetap setia menyokong Anwar yang akan bertanding buat kali pertama sebagai presiden.
“Dalam hal ini saya kira apa yang dizahirkan oleh Datuk Seri Azmin, kesetiaan beliau dalam perjuangan keadilan dan kesetiaan beliau kepada kepimpinan Anwar Ibrahim bagi saya tiada taranya, sama sekali tak boleh dipertikaikan,” kata Hilman.
Anwar pada 14 Julai lalu mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden parti.
Langkah itu dilihat oleh sesetengah pemimpin parti sebagai satu usaha ke arah kelancaran peralihan kuasa di Putrajaya – untuk Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
PKR akan mengadakan mesyuarat cabang secara serentak mengikut jadual di negeri-negeri antara 24 Ogos hingga 9 September ini. – 18 Julai, 2018.
Komen