Manifesto Pakatan dirangka tanpa maklumat yang cukup, kata Wan Saiful


Melati A. Jalil

Wan Saiful Wan Jan mengakui ini menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan menghadapi tugas berat dalam menunaikan teras pertama janji manifesto yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2018.

TIADA akses kepada maklumat dan data negara menyebabkan Pakatan Harapan (PH) sukar merangka sebahagian daripada manifesto pilihan rayanya, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau hari ini mengakui ini menyebabkan kerajaan PH menghadapi tugas berat dalam menunaikan teras pertama janji yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

Wan Saiful yang terlibat dalam menulis Buku Harapan berkata, tidak seperti empat lagi teras utama lain, teras pertama dirumuskan tanpa maklumat lengkap daripada kerajaan terdahulu.

“Kita tak dapat buat bahagian kos (untuk teras pertama) kerana tiada data. Yang lain tiada masalah ekrana ia pembaharuan intitusi, dirumuskan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh ramai orang, kertas kerjam jurnal dan pelbagai laporan berbeza.

“Misalnyam semasa saya merangka manifesto, saya tak tahu berapa ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan bawah RM4,000, dan bila saya bertanya kepada PTPTN, mereka sendiri tak tahu (berapa ramai),” beliau menberitahu pemberita selepas menghadiri seminar “Pakatan Harapan Manifesto: Is it a real change?” anjuran UMCEDEL hari ini.

Janji untuk membenarkan peminjam PTPTN berpendapatan bawah RM4,000 menangguhkah bayaran balik pinjaman merupakan salah satu daripada 10 janji yang akan PH penuhi dalam 100 hari pertama pemerintahan.

Dalam Buku Harapan, PH berjanji untuk melaksanakan 60 janji yang terkandung dalam lima teras utama: meringankan beban kehidupan rakyat, pembaharuan politik dan institusi, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan adil, mengembalikan semula status yang diberi kepada Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta mewujudkan Malaysia yang inklusif, sederhana dan dihormati dunia.

“Saya rasa semua orang masih berusaha untuk melaksanakannya, cabarnnya besar dan saya hanya mengendali salah satu daripada janji-janji tersebut.

“Penyesuaian (kepada teras pertama) memang perlu dilakukan dan saya fikir perdana menteri sedang melakukannya.

“Banyak kenyataan beliau baru-baru ini menunjukkan yang beliau sedar mengenai cabaran ini,” kata Wan Saiful yang menjadi penasihat khas kepada menteri pendidikan.

Selain itu, Wan Saiful juga merupakan pengerusi PTPTN. Pada pilihan raya umum 9 mei lalu, beliau bertanding di kerusi Parlimen Pendang di Kedah tetapi kalah. – 18 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen