Gelar Umno 'samseng', Ramkarpal dihalau keluar Dewan


Yasmin Ramlan

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh daripada DAP menjadi wakil rakyat pertama diarah keluar Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen kali ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Julai, 2018.

AHLI Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dihalau keluar daripada Dewan Rakyat petang ini kerana enggan menarik semula kenyataannya yang menggelarkan Pemuda Umno “samseng.”

Ketika sesi perbahasan, Speaker Mohamad Ariff Yusof mengarahkan Ramkarpal keluar selepas pemimpin DAP itu enggan menarik balik perkataan tersebut.

Ketetapan tersebut dibuat selepas persidangan Dewan tertangguh semula akibat keadaan kecoh yang tercetus apabila Ramkarpal tetap enggan menarik balik ucapan tersebut.

Ariff yang cuba meredakan keadaan terlebih dahulu meminta wakil rakyat pembangkang dan kerajaan menarik balik perkataan “samseng” dalam ucapan mereka.

“Untuk memendekkan masa, saya minta kedua-dua belah pihak menarik balik penggunaan perkataan samseng.

“Ketetapan sudah dibuat, Bukit Gelugor tarik balik, saya nak teruskan dengan ucapan Sungai Petani,” katanya.

Bagaimanapun Ramkarpal tetap bertegas untuk tidak menarik balik perkataan tersebut.

“Maaf, saya tidak akan tarik balik, maaf Speaker,” kata Ramkapal.

Ariff seterusnya mengarahkan bentara membawa Ramkarpal keluar dari Dewan.

Ketika ditemui pemberita, Ramkarpal mempersoalkan tindakan itu kerana beliau sudahpun diberi amaran oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon semasa kekecohan sama tercetus pada sesi pagi.

Ia bermula apabila Ramkarpal mencelah ucapan Johari Abdul (Pakatan Harapan – Sg Petani) mengenai tindakan kerajaan dalam satu kejadian melibatkan bekas wakil rakyat Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Ramkarpal merujuk kepada kejadian menimpa Karpal, yang diserbu sekumpulan Pemuda Umno pada Februari 2009.

Kejadian itu berlaku ekoran kenyataan Karpal pada masa itu yang menyalahkan Pemuda Umno atas ancaman bunuh yang didakwa diterimanya.

Ramkarpal seterusnya dalam ucapannya pagi ini menggelar kumpulan Pemuda Umno itu sebagai “samseng”, yang mengundang rasa kurang senang ahli Parlimen BN dan menyebabkan Dewan Rakyat kecoh. – 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen