AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin percaya kerajaan tidak akan dapat menanggung kos bagi melaksana janji kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau juga percaya negara akan menanggung beban kewangan yang tinggi disebabkan dasar tersebut yang dilaksanakan “tanpa difikirkan sehabisnya” oleh Pakatan Harapan (PH).
Khairy berpandangan demikian kerana kerajaan dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini hanya menyatakan perkara melibatkan pelaksanaan dasar tersebut masih dalam kajian.
“Jawapan hari ini sangat tak meyakinkan bahawa janji ini dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.
Dalam soalannya kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini, Khairy antara lainnya bertanya mengenai beban kewangan yang ditanggung kerajaan apabila tempoh pembayaran balik ditangguhkan.
Bekas menteri belia dan sukan itu juga meminta kerajaan menyatakan unjuran tempoh yang diperlukan untuk graduan menerima gaji RM4,000 dan memulakan bayaran balik pinjaman.
Mengulas perkara itu, Maszlee dalam jawapannya di Dewan Rakyat berkata: “Kajian berterusan akan dijalankan.”
Khairy yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut memberitahu pemberita, ini menunjukkan Pakatan Harapan tidak memikirkan perkara itu semasaknya sebelum dikemukakan dalam manifesto.
“Apabila tiada unjuran dengan tanggungan kewangan, tiada unjuran dengan tempoh masa yang diperlukan seorang siswazah sampai tahap (mula bayaran apabila terima gaji) RM4,000 sebulan.
“Ini menunjukkan PH buat janji yang tak difikirkan habis-habisan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata keadaan itu juga akan memberi beban kepada PTPTN kerana perbadanan itu akan terpaksa membuat pinjaman untuk menyediakan dana kepada pemohon baharu.
Pinjaman berjumlah besar itu akan menambah beban kewangan kepada kerajaan dan bercanggah dengan dasar berjimat cermat Kementerian Kewangan pada waktu ini, katanya.
Akhir Mei lalu, Maszlee mengumumkan seramai kira-kira 433,000 peminjam sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen melalui proses pemutihan secara berperingkat dari 24 Mei lalu hingga 15 Jun.
PTPTN juga mengumumkan, peminjam berkenaan diberi tempoh selama sembilan hari – dari 17 Julai hingga 25 Julai – untuk mengemas kini maklumat pendapatan mereka.
Ia merupakan langkah permulaan untuk mengumpul maklumat sebelum penangguhan bayaran balik untuk peminjam berpendapatan bawah RM4,000 itu dilaksanakan. – 18 Julai, 2018.
Komen