Juara debat Syed Saddiq belajar debat Parlimen


Looi Sue-Chern

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika di Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight leh Seth Akmal, 18 Julai, 2018

MENTERI paling muda di Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini merasai pengalaman debat Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini. 

Beberapa kali ketika menjawab soalan untuk Kementerian Belia dan Sukan, bekas juara debat itu kelihatan agak terganggu apabila ahli Parlimen yang lebih berpengalaman dari pembangkang Barisan Nasional membuang bising. 

Syed Saddiq bercakap tentang penghijrahan beliau luar bandar ke bandar, dan menyatakan komitmen pentadbiran baharu itu untuk membangunkan kawasan luar bandar bagi membawa lebih banyak kemajuan dan memperkasakan belia. 

Ahli Parlimen Muar itu kemudiannya berjanji untuk menambah baik program kepada belia, pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan memberi belia merasakan pemilikan dengan memberi peluang untuk berkhidmat sebagai pemimpin masyarakat dan ahli majlis dalam majlis tempatan. 

Atas usahanya itu, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata isu pembangunan luar bandar tidak terletak di bawah kementeriannya. 

“Isu ini sepatutnya dijawab oleh (ahli Parlimen) Titiwangsa,” kata ahli Parlimen dari Pahang itu merujuk kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun. 

Shahar kemudian bertanya kepada Syed Saddiq sama ada beliau boleh memberi jaminan projek mega seperti projek Kereta Api Laju (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kerana pembatalannya akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada belia, terutamanya di kawasan luar bandar. 

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini mengatakan projek berkenaan akan memberi perubahan dari segi ekonomi kerana ia boleh membawa kemajuan besar ke Pahang dan seluruh negeri pantai timur, yang akan menghubungkan dengan Lembah Klang. 

Namun PH membantah projek berkenaan. Kerajaan baharu yang menanggung beban hutang RM1 trilion, kini menyemak semula projek yang ditangguhkan itu kerana kosnya yang tinggi. 

Dalam jawapan balas kepada soalan Shahar, Syed Saddiq berkata soalan itu sepatutnya ditujukan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, namun menyatakan projek mega yang disemak semula ” bukan satu-satunya projek yang penting kepada pembangunan di kawasan luar bandar.”

“Bas boleh pergi lagi jauh ke pendalaman (berbanding kereta api). Ini sesuatu yang perlu kita bekerjasama,” katanya.

Ahli Parlimen Umno yang berpengalaman Annuar Musa (BN-Ketereh) kemudian bangun, mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq kerana dilantik menjadi menteri sebelum ahli parlimen lain ketawa dan memanggilnya “Budak Boy”, terma yang digunakan untuk merujuk kepada bekas pelajar Kolej Tentera Diraja (RMC).

“Saya juga ‘Budak Boy’. Speaker juga,” katanya merujuk kepada Mohd Ariff yang juga seorang alumni RMC. 

“Ketika saya mula menjadi menteri belia dan sukan, saya berumur 33 tahun. Ahli Parlimen Muar 25 tahun.

“Kamu mungkin gugup sedikit bila menjawab soalan di Dewan, tetapi kamu akan lebih baik tidak lama lagi,” kata ahli Parlimen berusia 62 tahun itu kepada Syed Saddiq. 

Annuar turut meminta Syed Saddiq menyatakan sama ada beliau menyokong projek ECRL yang akan membawa kemajuan di kawasan laur bandar, terutamanya di pantai timur yang kurang membangun. 

“ECRL masih disemak untuk melihat jika kosnya boleh dikurangkan,” kata Syed Saddiq. 

Katanya kerajaan sudah berudning dengan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS berhubung perkara lain termasuk royalti minyak. 

“Dua negeri ini tidak akan diabaikan. Kita tidak akan lupakan belia di negeri (pembangkang) ini.” – 18 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen