MALAYSIA akan bertemu Singapura hujung bulan ini untuk membincangkan nasib projek stesen kereta api laju (HSR) yang tertangguh, kata Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata Singapura sudah meminta satu mesyuarat diadakan untuk membincangkan perkara itu dan beliau akan cuba memenuhi permintaan itu.
“Berdasarkan kepada nota diplomatik yang dihantar oleh kerajaan Singapura ke Wisma Putra, mereka mencadangkan mesyuarat diadakan hujung Julai.
“Saya akan cuba sebaik mungkin memenuhi permintaan itu,” kata Azmin ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata projek itu bukan inisiatif buruk daripada kedua-dua kerajaan kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi termanya perlu dirunding semula.
“Ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” kata Azmin.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mendedahkan kos tersembunyi berhubung projek HSR kepada umum.
“Kita tidak boleh hanya lihat kos projek itu saja. Ada banyak kos tersembunyi yang tidak dimaklumkan kepada umum. Ini amalan biasa oleh kerajaan BN.
“Kami sebagai kerajaan Pakatan Harapan, kami sangat telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat. Kami akan pastikan semua kos didedahkan,” kata Azmin.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata HSR terlalu mahal pada nilai RM110 bilion.
Landasan kereta api sejauh 350km itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dijangka memulakan operasi pada 2026.
Pengumuman Dr Mahathir berhubung penangguhan projek itu mencetuskan kekecohan di Singapura, yang mendakwa belum menerima sebarang makluman rasmi berkenaan pembatalan projek mega berkenaan.
Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan memberitahu Parlimen Singapura bahawa republik itu sudah pun menanggung lebih S$6 juta (RM18 juta) untuk projek berkenaan dan dijangka menanggung jumlah sama bulan ini.
Singapura membelanjakan lebih S$250 juta bagi projek itu, berdasarkan kepada anggaran awal, katanya. – 18 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan