KETUA Polis Daerah Putrajaya Rosly Hassan menafikan barangan milik bekas perdana menteri Najib Razak dicuri dari bilik stor di Seri Perdana.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, beliau berkata tiada laporan berhubung perkara itu dibuat oleh Najib atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan bekas perdana menteri itu.
“Tiada laporan polis dibuat dan saya tidak tahu menahu tentang insiden ini.”
“Jika insiden ini benar, sudah pasti ada laporan dibuat,” kata Rosly.
Mengulas lanjut, Rosli turut mempersoalkan ketulenan gambar yang tersebar sejak semalam dan juga kredibiliti individu yang memuat naik gambar berkenaan di media sosial.
“Adakah gambar itu betul dan mengapa tiada laporan dibuat sedangkan beliau tahu apa yang berlaku?”
“Ini tidak betul. Beliau sepatutnya membuat laporan polis jika tahu terdapat elemen jenayah, Bukan menjadikannya viral,” tambah Rosly.
Semalam, bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin membuat kenyataan di Facebook menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan kecurian di bilik stor di Seri Perdana yang mengandungi barangan milik bekas perdana menteri Najib Razak.
Malaysiakini melaporkan, sumber terdekat dengan Najib mengesahkan insiden itu dan mendakwa bilik stor berkenaan dipecah masuk dan gambar yang dimuat naik oleh Anina adalah tulen.
Anina dalam postingnya mendakwa insiden berkenaan berlaku kerana Dr Mahathir menghalang Najib daripada mengambil barangan peribadinya.
Anina yang dipecat daripada kepimpinan Bersatu, kemudian mengecam Dr Mahathir dan menggesa agar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Amar Singh Ishar Singh menyiasat perkara itu.
“Tun (Dr Mahathir) tengok lah sendiri apa yang jadi? Disebabkan Tun tak bagi Datuk Seri Najib ambil barang-barang peribadi beliau, makan ianya kini telah dimasuki pencuri yang mengambil barang-barang tersebut.
“Kenapa zalim sangat tindakan Tun? Itu barang-barang milik peribadi. Beginikah layanan kepada seorang bekas perdana menteri? Apakah ini sikap seorang pemimpin negara yang mahu Tun tunjukkan kepada generasi muda? Bukan kah mereka yang mengundi Tun?
“Jadi Tun, tolonglah suruh ‘inspektor sahab’ buat siasatan tentang perkara ni,” katanya merujuk kepada Amar Singh yang beragama Sikh.
Seri Perdana yang dibina sebagai kediaman rasmi perdana menteri kini kosong berikutan Dr Mahathir memilih untuk tinggal di kediaman peribadinya. – 18 Julai, 2018
Komen