Parti memerintah atau tidak, tetap sukar jadi Melayu dalam DAP


Looi Sue-Chern

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima Syerleena Abdul Rashid menganggap setiap ancaman yang diterimanya sebagai perkara biasa dalam dunia politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 19 Julai, 2018

DITUDUH sebagai ancaman kepada Islam dan pengkhianat bangsa sudah menjadi perkara biasa kepada ahli DAP Syerleena Abdul Rashid.

Namun, serangan terhadapnya dilihat semakin serius apabila beliau menerima nota ugutan bunuh awal bulan ini.

“Jelas sekali saya menjadi sasaran, kerana menjadi wanita Melayu Islam dalam DAP,” kata Syerleena yang sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung beberapa ancaman bunuh yang dibuat terhadapnya.

Walaupun Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, sentimen anti-DAP dalam masyarakat Melayu masih menebal, terima kasih kepada Barisan Nasional dan Umno yang menyifatkan parti itu sebagai anti-Islam, katanya yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima.

“Apabila ada sesuatu perkara yang bermain di fikiran kamu setiap hari, kamu akan percaya ia sebagai benar. Rakyat yang tidak tahu akan sentiasa takut dengan apa yang tidak diketahui,” katanya.

Bukan Syerleena sahaja pemimpin Melayu Islam dalam DAP yang menjadi mangsa serangan.

Bapa saudaranya sendiri Rosli Hanafi turut berdepan masalah yang sama ketika diletakkan sebagai calon DAP bagi kerusi Batu Uban pada pilihan raya umum 1995.

“Orang memanggilnya dengan pelbagai nama. Beliau dituduh mengkhianati bangsa sendiri. Bapa saudara saya sudah lalui apa yang kita lalui sekarang.

“Agak sukar untuk menjadi Melayu dalam DAP. Itu akan sentiasa menjadi perkara yang kita perlu hadapi,” katanya.

Serangan terhadap pemimpin DAP Melayu beragama Islam berkisar kepada bantahan parti itu terhadap hukum hudud, yang diperjuangkan parti Islam PAS.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, yang kini merupakan Adun Tanjung Bungah dan exco kerajaan negeri Pulau Pinang, diserang berhubung isu hudud tahun lalu.

“Terdapat poster fitnah yang menyasarkannya disebarkan di merata tempat,” kata Syerleena. 

Menjadi Melayu dan berbeza

Pada satu tahap peribadi, Syerleena percaya beliau menjadi sasaran kerana lantang mempertahankan hak wanita dan tidak malu untuk menegur ketaksuban agama dan sikap tidak bertoleransi.

“Hanya kerana berlainan pakaian atau tidak memakai tudung, ia tidak menjadikan seseorang itu kurang Islam. Rakyat perlu faham perkara ini.

“Saya juga cenderung untuk lantang dalam sesuatu isu, seperti layanan terhadap wanita, ekstremisme, bagaimana interpretasi agama digunakan dan bagaimana mereka menentang nilai sejagat…kamu boleh pilih,” katanya.

Syerleena berkata, beliau tidak pernah berharap untuk menjadi tokoh kontroversi kerana bersuara mengenai ketaksuban dan isu jantina, dan menambah beliau mahu mewujudkan satu impak dalam perjuangan bagi membawa perubahan, keadilan sosial dan pembaharuan.

“Pembaharuan politik berlaku pada 9 Mei, dan saya fikir kebencian dan politik perkauman akan terhenti, malangnya kita masih diselubungi elemen ini.”

Tidak akan mengalah

Syerleena menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang meengancamnya, dan menambah beliau membuat laporan polis pertama pada Mac tahun lalu, namun tiada tindakan yang diambil.

“Tiada tindakan daripada pihak berkuasa ketika BN memegang kuasa membawa kepada apa yang kita hadapi hari ini. Tindakan perlu diambil,” katanya.

Walaupun sedia berdepan banyak kritikan kerana kelantangannya menyuarakan pandangan terhadap pihak berkuasa agama Islam, Syerleena berkata beliau terkejut dengan tahap kebencian yang dilihat dalam beberapa komen di media sosial terhadapnya.

“Mengharapkan seseorang itu menerima akibat hanya kerana mereka berbeza dan mempunyai pandangan lain adalah bertentangan dengan logik, akal dan kesopanan.

“Berdasarkan sesuatu yang tidak benar dan membuat andaian tanpa pengesahan..itu sangat bahaya.”

Beliau mengakui tidak daat mengatasi semua yang berlaku, namun berkata beliau dan pasukannya tidak akan terkesan oleh ketakutan.

Malah katanya, beliau akan memfokuskan untuk meningkatkan hidup rakyat Seri Delima, termasuk menambah baik taman awam dan menyediakan platform lebih baik kepada penggiat seni dan pemuzik untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka.

“Saya sudah pesan kepada kakitangan saya untuk lebih berhati-hati dan kita akan bekerja untuk mereka yang menghargai apa yang kita lakukan,” katanya.

“Kita tidak perlu takut bila kita tahu ancaman ini dibuat hanya untuk menakutkan, cuba menghentikan dan membuat kita putus asa.

“Saya akan terus bekerja dan memberi kritikan membina. Saya tidak akan mengalah.” – 19 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen