ROZMAN Isli dari Umno Sabah masih kekal bersama parti itu walaupun beberapa kali dipujuk untuk beralih arah kepada Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Labuan itu mahu menjadi sebahagian daripada “pakatan pembangkang yang boleh dipercayai” setakat ini, daripada menyertai parti seperti Parti Warisan Sabah.
“Sudah banyak kali saya diajak dan saya juga didesak oleh banyak pihak termasuk pemimpin agensi kerajaan di kawasan saya untuk meninggalkan Umno dan menyertai Pakatan Harapan demi Labuan.
“Malah mereka cabar saya sekiranya saya berani untuk berbuat demikian demi Labuan,” kata Rozman kepada The Malaysian Insight.
Rozman menjadi tumpuan baru-baru ini apabila menyertai bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin dan bekas menteri hal ehwal luar negara Anifah Aman untuk kekal di Parlimen ketika rakan mereka dalam pembangkang keluar dewan pada Isnin.
Tindakan ahli Parlimen pembangang keluar dewan adalah sebagai tanda bantahan terhadap pelantikan Mohd Ariff Md Yusof sebagai Speaker.
Ia berikutan ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak memberi notis 14 hari kepada setiausaha Parlimen berhubung pencalonan Ariff sebagai Speaker.
Walaupun melanggar arahan, Rozman, yang juga bekas ketua bahagian Umno Labuan memilih untuk kekal bersama parti, setakat ini.
“Di peringkat peribadi, saya memilih untuk menjadi ahli Parlimen pembangkang dan memainkan peranan dengan berkesan termasuk membawa pembangunan untuk Labuan.
“Saya akan lakukan apa sahaja yang baik dari segi moral demi Labuan dan rakyatnya. Bagaimanapun, saya tidak melihat dengan meninggalkan Umno akan berikan perbezaan. Sekurang-kurangnya setakat ini,” tambah Rozman.
Namun beliau memberi bayangan kemungkinan untuk menyertai PH pada masa akan datang.
“Saya tidak akan tergesa-gesa. Kita ada banyak masa. Ya mungkin ada kelebihan kemudian dan saya sentiasa percaya Labuan mesti rapat dengan kerajaan negeri Sabah,” kata Rozman.
Bekas pengerusi Labuan Corporation itu menambah beliau sanggup untuk bertemu Dr Mahathir Mohamad berhubung pembangunan di kawasannya.
“Saya merancang untuk bertemu PM dan berbincang dengannya mengenai ekonomi Labuan. Saya harap perdana menteri akan mengambil jawatan pengerusi Labuan Corporation dan memacu pembangunan Labuan.”
Pada Pilihan Raya Umum ke 14, Rozman yang merupakan ahli Parlimen buat dua penggal, menewaskan calon Warisan Noor Halimi Zaini dengan 1,450 undi.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang menyatakan Rozman mahu beralih arah kepada Warisan sebelum PRU14. – 18 Julai, 2018
Komen