DALAM masa 48 jam, Nga Kor Ming akan membuat keputusan sama ada akan menerima atau tidak pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)- tanpa gaji.
Nga yang baharu sahaja dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, berkata ia menganggapnya tugas kepada negara sekiranya menerima tawaran itu.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata Menteri Industri Utama Teresa Kok menawarkannya jawatan itu dan menjemputnya menghadiri taklimat di kementerian, tetapi mengatakan beliau perlukan masa kerana ia tanggungjawab besar.
“Penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia adalah industri utama, dan empat yang paling penting adalah kelapa sawit, getah, koko dan balak.
“Industri ini menyumbang sebanyak RM146 bilion kepada ekonomi kita, mengatasi industri elektronik, pelancongan malah minyak dan gas,” katanya.
Katanya lagi, industri minyak sawit berdepan cabaran besar dan MPOB berperanan penting untuk mendepaninya. Kementerian juga merancang untuk meningkatkan perolehan minyak sawit daripada RM80 bilion kepada RM100 bilion.
Nga berkata, beliau kini sedang berusaha mendesak pembaharuan Parlimen, tetapi usahanya itu tidak akan terganggu sekiranya beliau bersetuju menerima jawatan di MPOB. – 17 Julai, 2018.
Komen