Pembaharuan Parlimen keutamaan timbalan speaker Dewan Rakyat yang baharu


Andrew Chin

Pembaharuan Parlimen akan dilakukan sehingga rakyat Malaysia bangga dengan Parlimen negara ini, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Julai, 2018.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Nga Kor Ming akan mendesak pembaharuan dalam Parlimen, menjunjung Peraturan Mesyuarat dan menghapuskan imej yang dewan wakil rakyat itu hanya pak turut kepada kerajaan.

Nga mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof selepas persidangan semalam bagi membincangkan cara mengembalikan kebebasan Parlimen.

Katanya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong yang bertanggungjawab kepada undang-undang juga hadir di pertemuan itu dan beliau sudah meminta Liew mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dibubarkan pada 1992.

“Kita akan melakukan pembaharuan langkah demi langkah, supaya rakyat Malaysia boleh berbangga dengan Parlimen mereka,” kata ahli Parlimen Teluk Intan itu ketika diwawancara The Malaysia Insight malam ini.

Bagaimanapun, Nga menjelaskan yang pembaharuan itu perlu dilakukan berperingkat. Menggunakan perjuangan kesaksamaan gender diperjuangkang aktivis hak wanita sebagai contoh, katanya perjuangan itu mengambil masa 75 tahun untuk mendapatkan hak wanita mengundi.

“Apa sahaja pembaharuan adalah tugas yang besar. Saya baru sahaja bekerja kurang 48 tahun. Saya malah tidak ada tempoh latihan. Tetapi, perkara pertama yang kami buat adalah bebaskan media dan biarkan mereka buat laporan berita dari Parlimen secara bebas,” katanya.

Beliau merujuk kepada pembukaan semula lobi Parlimen kepada wartawan yang sebelum ini hanya dibenarkan berada dalam bilik media yang terletak jauh sekaligus menafikan akses pantas media kepada wakil rakyat di Dewan Rakyat. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen