SEJAK sekian lama, kerja-kerja meleraikan dan memasang kembali peralatan elektrik dan menjadikan ia bertambah baik adalah tugas yang diminati John Thoo, 57 tahun yang berasal dari Pulau Pinang.
Kegemaran itulah yang mendorongnya memahami “bagaimana alatan berfungsi” yang kemudiannya menyebabkan Thoo berjaya mencipta dan membina penjana hidro elektrik mikro serta penjana berkuasa solar untuk penduduk pendalaman Sarawak.
Disebabkan usaha pencipta dan individu yang sentiasa gemar melakukan perubahan yang berusaha sendiri ini, ratusan penduduk kampung tidak lagi perlu bergantung kepada penjana kuasa diesel yang mahal dan tidak cekap untuk menjana elektrik di rumah mereka.
Selepas berhenti sekolah pada usia muda, 16 tahun, Thoo mula melakukan pelbagai kerja rencam di ladang getah dan dusun durian, sebelum belajar menjadi juruteknik dengan mengutip barangan elektrik terbuang untuk belajar tentang fungsi dan operasinya.
“Kepandaian saya di situ. Saya sentiasa berminat nak tahu macam mana sesuatu perkara berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di rumahnya di Paya Terubong, Pulau Pinang.
Thoo berkata beliau mengasah kemahiran dan ilmunya dengan mengutip barangan, meleraikannya untuk tahu apa yang menyebabkannya berfungsi.
“Saya kutip banyak radio dan alatan elektrik rosak yang dibuang orang.
“Saya bawa balik rumah, belajar. Saya baikinya…itulah cara saya belajar,” kata Thoo yang selain berkemahiran melakukan kerja kimpalan dan perdawaian juga mampu mengendalikan kren pembinaan.
Penjana untuk cahaya kampung
Thoo mula membina penjana hidro mikro untuk kampung di pendalaman Sarawak pada 2012 selepas diperkenalkan dengan organisasi bukan kerajaan berpangkalan di Sarawak, Barefoot Mercy menerusi salah seorang aktivis sosial di Pulau Pinang.
Penjana direka dan dibina Thoo berupaya menjana tenaga melalui arus sungai kecil berhampiran kampung untuk menjana elektrik bagi membolehkan penduduk pendalaman menggunakan lampu elektrik dan peralatan elektrik asas di rumah mereka seperti peti sejuk.
“Saya bina (penjana) hidro mikro untuk 15,16 kampung. Kampung pertama saya adalah Kampung Rejoi, di Bengoh. Dahulu, kita perlu berjalan hampir enam jam untuk sampai ke kampung itu. Sekarang, kita boleh naik bot melintasi Empangan Bengoh,” katanya.
“Saya juga bina penjana hidro mikro dan kuasa solar untuk rumah Baru Bian di bukit di Lawas,” katanya merujuk kepada menteri kerja raya yang baharu dilantik itu.

Sebelum membina penjana di sesebuah kampung, Thoo akan melakukan lawatan untuk membuat persediaan kerjanya.
Beliau kemudiannya memberikan senarai peralatan diperlukan kepada Barefoot Mercy untuk dibeli. Sebaik sahaja semua keperluan itu sampai, NGO itu akan menerbangkan Thoo ke Sarawak sekali lagi untuk mula membina penjana itu.
“Kerja itu ambil masa berminggu lamanya. Saya kendalikan kerja-kerja teknikal seperti pendawaian elektrik daripada (penjana) hidro mikro kepada rumah (penduduk). Penduduk kampung tolong angkat paip untuk disambungkan dari sumber air ke (penjana) hidro mikro itu,” katanya.
Pingat bakti
Sebagai menghargai jasa baktinya, Thoo akan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Yang Di-Pertua Pulau Pinang Dr Abdul Rahman Abbas pada sebuah majlis pagi esok.
Pingat jasa itu dicalonkan untuknya oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin yang juga ahli Parlimen Bayan Baru.
Thoo berkata Sim mula menyedari usahanya di Sarawak tiga tahun lepas apabila mereka terserempak di Long Lidong.
“Saya pertama kali dicalonkan untuk pingat dua tahun lalu, tetapi saya tak dapat surat rasmi. Surat berdaftar hilang agaknya,” katanya tersenyum.
Tahun lepas, pejabat Sim menelefon Thoo memaklumkan pencalonannya dan beliau sendiri ke pejabat pos untuk mengutip surat berdaftar itu.
Walaupun berterima kasih dan menghargai pengiktirafan itu, Thoo berkata usahanya di Sarawak masih belum tamat dan beliau sentiasa merasakan sangat bertuah untuk terlibat dalam usaha kebajikan itu.
Katanya, beliau akan terus memberikan bantuan kepada penduduk pendalaman Sarawak selagi mana NGO itu memerlukannya.
“Setiap kali lawatan macam bercuti,” katanya.
“Saya jumpa orang baru, tinggal dengan mereka, merasai pengalaman gaya hidup mereka dan buat kawan baru. Saya gembira dapat tolong.” – 17 Julai, 2018.
Komen