Isu perkahwinan kanak-kanak akan dibangkitkan di Parlimen 


Melati A. Jalil

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata isu berkenaan amat penting yang pasti akan dibangkitkan di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2018

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjawab semua soalan dan cadangan berhubung isu perkahwinan kanak-kanak di Parlimen, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Yeoh berkata, gesaan daripada G25 iaitu kumpulan bekas penjawat awam yang mahukan perkahwinan kanak-kanak dijadikan sebagai kesalahan jenayah juga akan dijawab oleh Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Menteri akan menjawabnya di Parlimen. 

“Ini merupakan isu hangat, saya pasti ia akan dibangkitkan di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertunjukan Kejuruteraan dan Mekanikal Asean Edisi ke 7 di Kuala Lumpur hari ini.

G25 sebelum ini berkata, mengklasifikasikan perkahwinan kanak-kanak sebagai jenayah akan memastikan undang-undang terpakai kepada semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian. 

Perkahwinan kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia yang mana ramai yang menyifatkan perkahwinan berkenaan sebagai satu bentuk penderaan kanak-kanak. 

Lelaki dari Gua Musang itu dilaporkan berkahwin dengan kanak-kanak perempuan dari selatan Thailand tanpa persetujuan dua isterinya. Berita mengenai perkahwinan itu tersebar selepas isteri keduanya membuat laporan polis. 

Peniaga getah itu hanya dikenakan denda RM1,800 oleh Mahkamah Syariah Kelantan. 

Beliau didakwa di bawah Seksyen 19 dan Seksyen 24 Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 yang membawa hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara dua bulan.  

Seksyen 19 menyatakan perkahwinan tidak boleh dijalankan tanpa kebenaran pendaftar atau hakim syariah, manakala Seksyen 124 melarang poligami tanpa kebenaran mahkamah. 

Selepas mengaku bersalah atas kedua-dua kesalahan, Hakim Mahkamah Syarikah Gua Musang Mohd Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman denda RM900 bagi setiap kesalahan. 

Dr Wan Azizah sebelum ini berkata, kerajaan sedang membincangkan untuk menaikkan had umur minimum untuk berkahwin bagi kedua-dua jantina kepada 18 tahun dan keputusan itu akan dimuktamad dalam masa terdekat. 

Katanya, lelaki berkenaan disiasat kerana kesalahan seksual di bawah Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017. – 17 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen