KK Wetlands diiktiraf sebagai Tapak Ramsar


Jason Santos

KK Wetlands adalah satu daripada hanya dua kawasan tanah lembap di dunia yang terletak dalam radius 10 km dari sebuah bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Jason Santos, 17 Julai, 2017.

KOTA Kinabalu Wetlands (KK Wetlands) seluas 24 hektar kini merupakan Tapak Ramsar.

Hutan bakau yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar kini menjadi tapak ketujuh Ramsar Malaysia.

Ia adalah satu daripada hanya dua kawasan tanah lembap di dunia yang terletak dalam radius 10 km dari sebuah bandar.

Tapak Ramsar adalah tapak tanah lembap yang ditetapkan sebagai Berkepentingan Antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar atau Konvensyen Tanah Lembap, sebuah perjanjian antarabangsa mengenai pemuliharaan dan pemanfaatan tanah lembap dan sumber mereka.

KK Wetlands menerima status Ramsar pada 22 Disember 2016 tetapi masih memerlukan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkannya.

Sijil Tapak Ramsar diserahkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Ketua Menteri Musa Aman di sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Musa dalam ucapannya berkata perlindungan biodiversiti dan ekosistem adalah keutamaan kerajaan Sabah.

“Pelbagai usaha pemuliharaan dilakukan untuk memastikan pengurusan hutan kita kekal mampan.

“Ini boleh dilihat dalam komitmen kerajaan terhadap pelbagai inisiatif seperti Heart of Borneo dan Konvensyen Ramsar di Wetlands,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun.

Presiden Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS) Zainie Aucasa memberitahu The Malaysian Insight dia akhirnya lega KK Wetlands menerima pengiktirafan itu.

“Jika bukan kerana tindakan kerajaan negeri untuk mencalonkan KK Wetlands kepada Persekutuan pada 2013, ini tidak akan berlaku,” katanya.

SWCS adalah organisasi bukan kerajaan utama di sebalik cadangan dan promosi KK Wetlands sebagai Tapak Ramsar Sabah, selepas Tanah Lembab Hilir Kinabatangan-Segama.

Malaysia menetapkan kawasan tanah seluas 24 hektar itu sebagai tapak Ramsar pada 28 Mac tahun ini. – 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen