Aktivis hak asasi perlu bersikap budiman


Zainal Rashid Ahmad

INI satu pesanan ikhlas kepada aktivis hak asasi. Bertindaklah dengan mengekalkan budaya mendukung nilai murni dan sifat budiman dalam perjuangan. Konsep kenegaraan Raja Perlembagaan dan Demokrasi Berparlimen harus dihormati.

Pastikan, semua kehendak yang dituntut melalui proses yang tidak mencetuskan ketegangan dan rasa tersinggung pihak lain. Terutama yang bersangkutan dengan sensitiviti umat Islam dan maruah bangsa Melayu.

Pemimpin politik juga harus menghentikan segera segala bentuk sokongan moral kepada individu atau kumpulan yang terang-terangan mencela perlembagaan. Sokongan politik akan menghantar isyarat yang salah kepada masyarakat. 

Apakah gerakan anti raja-raja Melayu ini satu agenda politik? Masyarakat akan melihatnya begitu. Sokongan pemimpin politik akan dilihat sebagai restu kepada tindakan pelaku.  

Kita bersetuju, pada era politik baharu, suara pelbagai pihak termasuk minoriti wajar didengari. Suara mereka tidak boleh disenyap dan dilenyapkan. Ini kerana, kita mahu budaya mendengar dan setuju untuk tidak bersetuju menjadi asas kepada proses kematangan. Kita mahu membina budaya di mana semua pihak berinteraksi secara progresif.

Tetapi kebebasan ada hadnya. Burung yang  terbang bebas pun perlu berada dalam lingkungan kebebasannya. Burung akan mati ketipisan oksigen kalau terbang melangkaui had ketinggian melampau.

Apabila serangan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan disuarakan, ia melangkaui konteks dalam menyuarakan pandangan. 

Dalam apa jua situasi, kecenderungan mencela atau bersikap sinikal terhadap hal-hal berkaitan Islam, terutama memperlekeh Jakim dan fungsinya sebagai teras pentadbiran Islam di negara, satu provokasi tidak perlu.

Dalam isu Jakim, kita mengharapkan diskusi yang komprehensif bagi memantapkan peranannya sebagai institusi agama. Jakim telah disahkan kekal sebagai agen pelaksanaan pentadbiran Islam pada era pembaharuan ini. 

Justeru, pandangan yang dikemukakan perlu objektif. Kita tidak meraikan celaan sarkastik atau secara licik mengambil kesempatan bagi melampiaskan sikap prejudis terhadap Islam dalam menghentam Jakim.

Malah, isu Jakim tidak perlu diseret tanpa had hingga melangkau menjadi isu mempertikaikan institusi raja-raja Melayu. Ia tiada kaitan langsung. Mengkritik kedudukan institusi Istana tidak relevan dan tiada kaitan dengan agenda pembaharuan kerajaan hari ini.

Ia gambaran sikap oportunis puak anarkis yang mahu mengambil kesempatan membangkitkan sentimen kebencian pada Istana dalam proses pembaharuan ini.

Jakim boleh dikritik untuk usaha pembaikan. Namun, institusi raja-raja serta kedudukan dan peranannya sudah lengkap termaktub dalam Perlembagaan. Jadi kena hati-hati. Malaysia baharu tidak berkaitan dengan agenda ekstrim menuju pembinaan negara republik.

Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 3 pagi 10 Mei lalu, ketika mengumumkan PH membentuk kerajaan berikutan mandat PRU 14, menyebut dengan jelas: Kerajaan PH mendokong Perlembagaan.

Jadi, serangan terhadap Islam dan kedudukan raja-raja Melayu adalah bertentangan dengan Malaysia Baharu yang digagaskan PH. Menjadikan era pembaharuan yang baru dua bulan usianya, dengan mengaitkan semua isu hak asasi minoriti akan dilaksanakan, adalah sangat tidak wajar.

Kemenangan PH bukan kemenangan bagi semua isu hak asasi membabitkan kepentingan minoriti. Perlembagaan masih wujud secara utuh tanpa sedikit pun tercela. Manakala, undang-undang pada masa ini kekal sebagai perisai keharmonian masyarakat.

Bagi aktivis LBGT dan puak pemaham liberal dalam Islam, serta konco-konco pergerakan anti Melayu atau Bumiputera, pastikan anda kekal budiman. 

Pastikan anda tidak menafsir kewujudan kerajaan baharu sebagai era untuk bermaharajalela. Anda sedang memusnahkan impian era baharu yang menjanjikan Malaysia dipacu oleh nilai keadilan berasaskan undang-undang.

Malah, sekiranya puak anarkis terus memperlekehkan Perlembagaan demi mempromosi agenda minoriti yang bertentangan dengan Islam atas nama hak asasi, anda adalah perosak proses pembaharuan.

Sudah pasti, anda tidak diraikan dalam membina Malaysia baharu.– 18 Julai, 2018


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen