PEMIMPIN Hindraf, P Waytha Moorthy bakal dilantik menganggotai Kabinet sekali lagi, kali ini dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi NGO hak asasi masyarakat India itu dijangka akan mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri bagi portfolio perpaduan dan hak minoriti, di Istana Negara hari ini.
Beliau yang baharu mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara hari ini berkata beliau yakin akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Najib Razak itu berkata beliau yakin pimpinan perdana menteri kini mampu menyelesaikan isu yang diabaikan.
“Saya mahu mewakili rakyat dengan cara yang baik. Jadi semua sedia maklum saya meninggalkan parti sebelum ini.
“(Kerana) Saya berdiri dengan pendirian saya. Saya perlu meninggalkan (parti) kerana janji-janji yang yang dibuat oleh Datuk Najib tidak pernah ditunaikan.
“Saya juga telah berbincang panjang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau telah yakinkan saya dan beliau akan beri mandat untuk berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada pemberita di Parlimen hari ini.
Pada Ogos 2017, beliau terus menentang Barisan Nasional dan menemui Dr Mahathir yang ketika itu merupakan pengerusi Bersatu untuk menyuarakan sokongan dan membantu gabungan empat parti itu berkempen pada PRU14.
Pada 2007 apabila beliau dan beberapa aktivis, termasuk abangnya yang juga peguam hak asasi, P Uthayakumar terbabit dalam protes besar-besaran anjuran Hindraf di Kuala Lumpur untuk memperjuangkan hak masyarakat India.
Selain beliau, tujuh pemimpin PH lain dilantik sebagai senator hari ini, termasuk Liew Chin Tong yang akan dilantik menjadi timbalan menteri pertahanan.– 17 Julai, 2018
Komen