Agong sindir pihak tertentu, kata PM


Kamles Kumar

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika tiba di Parlimen untuk pembukaan penggal pertama Parlimen ke 14 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Ariffin, 17 Julai, 2018

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad percaya Yang di-Pertuan Agong menyindir pihak tertentu apabila meminta ahli Parlimen “jangan lari” semasa baginda menyampaikan ucapan pada hari ini.

Kata Dr Mahathir, walaupun Agong menyatakan perkara itu secara berjenaka, pihak yang dimaksudkan oleh baginda itu tentu akan terasa.

“Itu satu gurauan. Siapa makan cili, dia rasa pedas,” kata ahli Parlimen Langkawi itu kepada pemberita selepas upacara tersebut hari ini.

Beliau mengulas teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang meminta ahli Parlimen supaya “duduk dan jangan lari” sebelum memulakan ucapan baginda hari ini.

Titah baginda disambut ketawa besar oleh ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang yang memboikot sidang Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, titah tersebut juga dipercayai satu teguran kepada individu yang didakwa cuba melarikan diri daripada siasatan selepas pentadbiran kerajaan diambil alih Pakatan Harapan.

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu pemberita, ahli Parlimen tidak akan disekat daripada mengemukakan soalan di Dewan.

“Tidak akan ada apa-apa sekatan.

“Mereka boleh bercakap mengenai apa saja yang mereka mahu cakap.”– 17 Julai, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa-apa pun diharapkan isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan, adakalanya kita juga memerlukan teguran supaya menjadi ingatan untuk kita..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan