PEJABAT Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ia tidak ‘menolak’ Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana tidak diminta untuk menandatanganinya.
Setiausaha politik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Wong Hon Wai berkata adalah tidak adil bagi badan anti-rasuah itu untuk membuat tuntutan sedemikian.
“SPRM tidak pernah menulis kepada ketua menteri mengenai IBR. Bagaimana Pulau Pinang mahu putuskan untuk menandatangani ikrar itu atau tidak jika tidak pernah menerima surat daripada SPRM?”
“Adalah tidak adil bagi SPRM untuk menyerang Pulau Pinang seperti seorang ahli politik sedangkan ia tidak menulis kepada ketua menteri. Serangan itu tidak berasas dan berat sebelah kepada Barisan Nasional (BN) kerana menggunakan laporan pemimpin BN Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan yang pro-BN ,” kata Wong.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad pada Isnin lepas berkata, ketiga-tiga negeri yang diketuai pembangkang termasuk Selangor dan Kelantan masih belum menandatangani IBR dan beliau kecewa dengan keengganan Pulau Pinang untuk berbuat demikian, dengan berkata negeri itu terlepas peluang menunjukkan ia serius terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam berkata, Lim pernah sekali bercakap kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low mengenai IBR tetapi perbincangan itu tidak berhasil.
“Mesyuarat itu tidak berhasil kerana Low tidak akan memasukkan syarat untuk memaksa semua pemegang jawatan kerajaan mengisytiharkan aset peribadi mereka dalam ikrar itu,” katanya. - 17 Julai 2017.
Komen