Menteri sahkan pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia dipecat


Kamles Kumar

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan pemecatan pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia selari dengan pendirian kerajaan yang menamatkan semua lantikan politik di bawah pentadbiran Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Julai, 2018.

MOHAMAD Sahfri Ab Aziz, pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, ditamatkan kontraknya kerana beliau adalah lantikan politik, kata menteri belia dan sukan.

Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa semua lantikan politik di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan ditamatkan perkhidmatan mereka.

“Beliau (Sahfri) adalah lantikan politik. Ini bukan dendam,” kata Syed Saddiq kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Syed Saddiq mengulas laporan TMI awal hari ini, Sahfri diberhentikan minggu lalu melalui sepucuk surat yang beliau tandatangani pada 12 Julai lalu.

Ketua Pemuda Bersatu dan Ahli Parlimen Muar itu menambah, kini semua lantikan bagi jawatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan berdasarkan kepada kelayakan.

“Mulai sekarang akan terdapat lantikan berdasarkan merit. Kami akan melantik orang daripada industri yang pakar dalam bidang mereka sendiri,” tambah Syed Saddiq.

Syed Saddiq, dalam surat itu memetik penamatan perkhidmatan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perbadanan Stadium Malaysia 2010 dan berkuat kuasa serta merta.

Penamatan perkhidmatan Sahfri itu susulan langkah kerajaan PH menghapuskan lantikan politik dalam GLC dan diplomat yang berkaitan dengan kerajaan dari era Najib Razak.

Semalam, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Abdul Azim Mohd Zabidi, ditamatkan perkhidmatannya serta-merta.

Beliau dilantik oleh bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin pada Mei tahun lalu, sempena Sukan Sea pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, Azim berkata beliau masih timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan kekal kekal sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia, bulan depan.

Beliau berkata kedudukannya sebagai ketua kontinjen diputuskan oleh MOM, dan tiada kaitan dengan ISN. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen