Jadi pembangkang yang jujur, kata Kit Siang kepada BN


Kamles Kumar

LIM Kit Siang daripada DAP, yang menjadi ahli Parlimen pembangkang sejak 1969 menasihatkan Barisan Nasional (BN) agar menjadi pembangkang yang “jujur”.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata pembangkang tidak seharusnya memainkan isu perkauman yang disokong oleh fakta palsu.

Sebaliknya, ia perlu membina demokrasi yang lebih baik di Malaysia.

“Jangan guna politik kaum, agama, penipuan dan menakutk-nakutkan. Beritahu kebenaran. Menjadi pembangkang yang konstruktif, efektif dan jujur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini selepas ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Veteran DAP itu menambah, masih sukar mempercayai beliau hari ini duduk di bahagian kerajaan dalam Dewan memandangkan selama 30 tahun berada di bahagian pembangkang.

“Ia sukar dipercayai dan agak tidak selesa. Ia janggal tetapi kita akan biasa dengannya,” kata Lim  sambil tersenyum.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam ucapannya berkata politik di Malaysia perlu beralih daripada bangsa dan agama. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen