Pengenalan semula SST buat rakyat bimbang, kata Najib


Yasmin Ramlan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata SST pada kadar 10% akan membuatkan harga barang dan kos perkhidmatan naik sebanyak 6%. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Julai, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mendakwa rakyat bimbang dengan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, SST pada kadar 10% akan membuatkan harga barang naik dan kos perkhidmatan juga akan meningkat 6%.

“Rakyat rasa bimbang dan rasa curiga dengan langkah (pengenalan semula) SST kerana dijangka bahawa harga akan naik sekurang-kurangnya 10% dan 6%.

“Bukan 16%... tapi 10(%) bagi barangan, 6(%) bagi bidang perkhidmatan.

“Jadi kalau ini naik, akhirnya akan beri keadaan kos kehidupan naik,” kata di lobi Parlimen selepas prasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Najib, harga barangan dan perkhidmatan tersebut akan terus meningkat kerana langkah kerajaan menetapkan GST pada kadar sifar bermula 1 Jun lalu tidak menyebabkan harga turun.

“GST sifar atau pemansuhannya tak beri kesan. Maka tambah lagi dengan SST, makna beban pada rakyat akan terus bertambah.

“Tidak kesampaian apa yang dijanjikan oleh kerajaan (kurangkan kos hidup rakyat),” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau juga meramalkan negara akan kehilangan hasil sebanyak RM416.6 bilion jika PH melaksana pemansuhan GST, tol, duti eksais dan pinjaman perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen