PAS tidak bergabung dengan Umno tetapi bekerjasama dalam isu tertentu


Kamles Kumar

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata akan bekerjasama dengan semua pihak terutama berhubung perkara yang memberi manfaat kepada rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Julai, 2018.

PAS tidak akan bergabung dengan Umno tetapi akan bekerjasama dengan parti pembangkang mengenai isu di Parlimen.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan kedua-dua parti tidak membentuk gabungan khusus tetapi bekerja sama dalam isu-isu tertentu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami akan bekerjasama dengan semua orang demi kebaikan semua rakyat Malaysia. Kita tidak akan bergabung dengan Umno,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Perbincangan mengenai penggabungan PAS-Umno sekian lama menjadi spekulasi sejak sebelum pilihan raya pada 9 Mei bagi mengatasi kekuatan Pakatan Harapan.

Umno di bawah bekas presiden Najib Razak juga pernah mempunyai hubungan mesra dengan PAS.

Semalam, wakil rakyat PAS bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional keluar dari Dewan Rakyat, membantah pelantikan Speaker Mohamad Arrif Md Yunos.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga berkata parti itu mengiktiraf Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua pembangkang. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen