HIDUP bukan mudah bagi warga China yang datang ke Malaysia untuk bekerja bersama ledakan pelaburan China ketika pentadbiran Najib Razak, kurang sedekad lalu.
Sementara sesetengah rakyat Malaysia menuduh warga China ini merompak periuk nasi mereka, realitinya ialah mereka memilih bekerja di luar negara untuk mendapatkan gaji lebih tinggi.
Terpaksa meninggalkan keluarga di China, mereka ini merindui kampung halaman dan masih cuba menyesuaikan diri dengan kejutan budaya dalam persekitaran baharu.
Chen Yi, 34, yang bekerja di Kumpulan MCC 19 China di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan tidak bertemu isteri dan dua anaknya selam ahampir setahun.
Dia hanya bergantung pada WeChat untuk terus berhubung dengan keluarganya di Sichuan.
“Liputan Internet di asrama tidak begitu baik, kadangkala terputus dalam tempoh beberapa minit. Saya hanya dapat mendengar anak-anak memanggil saya ayah.
“Kamu tanya perasaan saya bekerja di sini? Saya sangat merindui rumah saya,” kata Chen.
Isterinya masih terpaksa bekerja walaupun dia menganggap gajinya agak lumayan di sini. Ibu bapanya menjaga anak-anaknya.
Chen berkata kehidupan di Malaysia lebih baik berbanding bekerja di Korea Utara dan Thailand. Asrama dengan penyaman udara itu agak selesa.
Dilengkapi taman kecil, pasar raya mini, kafe, medan makan dan salun, asrama itu kelihatan menyenangkan dan selesa ketika tinjauan The Malaysian Insight ke taman perindustrian itu, baru-baru ini.
Satu-satunya tempat di mana berlaku interaksi antara warga China dan penduduk tempatan ialah di pasar malam sepanjang jalan utama di luar taman itu.
Di sini pekerja warga asing dan penduduk tempatan tawar menawar membeli bahan makanan segar, barang runcit, makanan import dari China.
Pemandu jentolak yang mahu dikenali sebagai Choo, 54, berkata dia kehilangan kerja selepas projek Lintasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) digantung awal bulan ini, dan sekarang membantu isterinya menjual barangan runcit.
Pekerja pembangunan itu berkata gerai itu sebelum ini memberikan pendapatan tambahan untuk keluarganya, tetapi kini ia menjadi sumber utama kehidupan mereka.
Fong Zhen Pang berhenti menjual beg tangan dan dompet di pasar malam Kuantan setahun lalu untuk menjual barangan kering import, jajan dan alkohol dari China kepada pekerja warga asing di luar taman perindustrian itu.
“Sudah setahun saya di sini, perniagaan agak baik, lebih bagus daripada jual beg tangan. Pendapatan saya meningkat,” kata Fong.
Katanya, warga China di situ peramah dengan penduduk tempatan.
Seorang pekerja China, Xiaozhao, 26, berkata agak bosan bekerja di taman perindustrian itu kerana mereka dilarang keluar.
“Mungkin syarikat itu bimbang akan timbul masalah kerana perbezaan bahasa dan budaya.
“Saya ada wang tetapi tidak ada peluang untuk membantu merangsang ekonomi tempatan,” katanya.
Ketika ditanya tentang rancangan masa depannya, Xiaozhao lekas berkata: “Pulang ke kampung!”.
Rakan sekerjanya yang duduk di sebelah sambil makan mi panas, mengangguk setuju. – 17 Julai, 2018.
Komen