Jangan membuta tuli ikut pemimpin, kata ahli Parlimen BN


Kamles Kumar

AHLI Parlimen pembangkang tidak perlu membuta tuli mengikut pemimpin mereka terutamanya jika ia keputusan yang salah, kata ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketiga yang tidak ikut serta keluar Dewan semalam.

Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata beliau menghormati Parlimen sebagai sebuah institusi, sambil menambah wakil rakyat pembangkang seharusnya menghormati Dewan yang mulia dan menggunakan cara lain untuk membantah, bukannya meninggalkan Dewan.

“Saya juga berpendapat ahli Parlimen tidak boleh sepanjang masa membabi buta mengikut arahan parti atau yang berkuasa.

“Ahli Parlimen sepatutnya pada peringkat tertentu mula membuat penilaian dan keputusan sendiri mengenai isu yang dibahaskan dan bebas untuk membuat keputusan,” kata Rozman kepada The Malaysian Insight.

Rozman, bersama bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas menteri luar Anifah Aman, adalah mereka yang tidak keluar dari Parlimen semalam sebagai tanda bantahan terhadap pelantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat.

Pembangkang yang diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan PAS mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan notis 14 hari kepada setiausaha Parlimen untuk mencalonkan Ariff sebagai speaker.

Rozman juga mengatakan BN sebagai pembangkang perlu membentuk “budaya baru” dan menjadi lebih baik daripada Pakatan Harapan apabila menjadi pembangkang.

“Mari kita mulakan cara baru dan budaya baru di Parlimen Malaysia.

“Saya tidak menyukai banyak perkara yang dilakukan pembangkang sebelum ini. Jadi saya benar-benar mahu melihat pembangkang melakukan perkara yang berbeza sekarang,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ahli Parlimen dua penggal itu menang dengan majoriti 1,450 undi berbanding calon Warisan, Noor Halimi Zaini.

Bagaimanapun, terdapat cakap-cakap yang Rozman mahu beralih ke Warisan sebelum PRU14. – 17 Julai, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen