KETIKA pendidikan dilihat sebagai peluang yang boleh mengubah masa depan seseorang, sekumpulan sukarelawan memulakan inisiatif dengan niat semata-mata ingin menjadikan pendidikan lebih mudah untuk pelajar Orang Asli.
Kelas Kaseh adalah kelas tuisyen bukan formal dan percuma dikendalikan sekumpulan sukarelawan yang berdedikasi dalam mengajar pelajar Orang Asli di Semenyih dan Dengkil setiap hujung minggu.
Mohd Khairul Azkar yang merupakan pengasas dan penyelaras berkata, kelas ini memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki masa depan mereka.
“Apa yang menghalang mereka daripada belajar adalah mentaliti mereka.
“Mereka merasakan pendidikan tidak akan dapat mengubah kehidupan mereka, kami mahu menggalakkan mereka untuk terus belajar supaya mereka dapat memperbaiki keadaan mereka,” kata Khairul.
Beliau juga berkata beberapa kanak-kanak tidak mempunyai kad pengenalan yang menjadikan mereka sukar untuk bersekolah.
Malah mereka yang pergi ke sekolah cenderung untuk berhenti sekolah kerana ketidakupayaan mereka untuk bersosial dengan pelajar yang bukan berasal daripada puak-puak asli.
Tambah Khairul, isu kewangan juga memainkan peranan dalam menghalang peluang mereka untuk mendapatkan pengetahuan dan itulah sebabnya kelas mingguan yang disediakan adalah percuma.
“Mereka tidak mampu untuk kelas tuisyen jadi Kelas Kaseh adalah tempat bagi mereka memperoleh pengetahuan sebanyak mungkin, sesuatu yang mereka tidak akan dapat di luar,” kata jurutera pengeluaran berusia 27 tahun itu.
Inisiatif ini bermula pada September 2015 di Kampung Sungai Buah di Dengkil.
Kelas Kaseh menyediakan kelas bacaan, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk pelajar Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima.
Ia juga menekankan pentingnya mempunyai seorang sukarelawan yang mendekati seorang pelajar di setiap kelas untuk memastikan pembelajaran dan pemahaman yang berkesan terhadap para pelajar.
Ahad lalu, seramai dua puluh lima pelajar Orang Asli yang berminat menunggu di Surau Al-Ikhlas di Sungai Buah seawal jam 9.30 pagi.
Matematik diajar dari jam 10 hingga 11 pagi diikuti Bahasa Inggeris dari 11.15 pagi hingga 12 tengahari.
Semasa selang lima belas minit antara kedua-dua subjek tersebut, pelajar selesa berbual dengan sukarelawan mereka mengenai makanan ringan yang disediakan penyelaras Kelas Kaseh.
Para sukarelawan melakukan tugas luar biasa dalam membimbing pelajar.
Satu contoh utama adalah apabila Nur Suhadah binti Rosli dianugerahkan sebagai pelajar Orang Asli terbaik di Selangor tahun lepas.
Pelajar berusia 13 tahun yang peramah itu tidak meminati Matematik dan Bahasa Inggeris sebelum Kelas Kaseh diadakan dan mengakui kelas mingguan itu memberi peningkatan mendadak dalam pembelajarannya.
“Tanpa Kelas Kaseh, gred saya tidak akan bertambah baik,” kata Suhadah, dikelilingi rakannya selepas kelas.
Bagi Azam Jo, beliau berterima kasih kepada sukarelawan kerana mengesan kesilapannya dalam Bahasa Inggeris yang menjadikannya lebih yakin untuk bercakap dalam bahasa itu.
“Sukar untuk saya memperbetulkan tatabahasa dan perbendaharaan kata.
“Saya menghadiri kelas setiap minggu sejak 2015 dan ia memberi peningkatan yang besar dalam memahami Bahasa Inggeris,” kata pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra.
Beliau juga gembira kerana kelas diberikan secara percuma dan tidak menambah beban kepada ibu bapanya.
Kelas Kaseh menarik minat sukarelawan yang kebanyakan pelajar universiti untuk datang pada setiap minggu.
Ia adalah kali ketujuh Siti Nor Aqilah Mohammad Fadzil yang menghadiri program itu dan dia berkata semua pelajar berminat mempelajari sesuatu yang baru setiap minggu.
“Sebagai sukarelawan, kami membimbing mereka untuk menjawab soalan mengenai buku panduan yang diberikan kepada mereka dan kebanyakan masa mereka yakin dalam menjawab soalan.
“Mereka benar-benar berminat untuk belajar dan ini merupakan platform yang hebat untuk mereka mendapat ilmu,” kata Siti yang merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia.
Kelas Kaseh berjalan pada setiap Sabtu di Surau Nur Iman, Kachau Dalam, Ulu Semenyih dan Ahad di Surau Al-Ikhlas, Sungai Buah, Dengkil. Kedua-dua sesi bermula dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 malam. – 17 Julai, 2017.
Komen