Kembalikan wibawa Parlimen


Dr Sabirin Ja'afar

PARLIMEN ke-14 memulakan mesyuaratnya yang pertama bagi penggal pertama di Dewan Rakyat bermula hari ini, Selasa, 17 Julai 2018.

Semalam, majlis angkat sumpah ahli Parlimen yang dipilih rakyat seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu bermula dengan sedikit kekecohan apabila proses pelantikan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof diboikot oleh sebahagian besar anggota pembangkang kerana didakwa tidak mengikut peraturan Dewan.

Namun, semua mereka kembali masuk untuk mengangkat sumpah. Satu tindakan yang agak pelik dan tidak konsisten.

PRU14 menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) (dahulunya Perikatan) dan sebuah kerajaan baharu terbentuk hasil gabungan empat parti campuran Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan Parti Warisan Sabah.

Sejak PRU yang bersejarah itu kerajaan PH bertambah kukuh dengan sokongan bekas parti komponen BN Sarawak yang meninggalkan BN serta tiga calon bebas yang keluar daripada Umno.

Ariff, lulusan London School of Economics and Political Science (LSE) ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, peguam dan bekas pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya. Suatu masa dahulu beliau pernah bertanding atas tiket PAS tetapi kalah.

Kewibawaan Ariff tidak dapat disangkal sama ada semasa bertugas sebagai hakim atau pensyarah.

Pertama kali saya menyaksikan kehebatan beliau ialah ketika beliau mengendalikan pertandingan moot di Universiti Malaya pada awal 1990-an. Ternyata beliau fasih, bergaya dan mantap sekali. Beliau ada aura tersendiri.

Beliau bersara sebagai hakim beberapa bulan selepas saya dilantik Pesuruhjaya Kehakiman dan saya tidak sempat bertemu beliau sebagai rakan sejawat tapi reputasi beliau sebagai hakim yang saksama, bijak dan berintegriti diketahui ramai.

Sebahagian ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap pelantikan speaker baharu semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2018.

Pemilihan speaker yang sesuai penting kerana sidang Dewan Rakyat perlu dikembalikan ke martabat yang sepatutnya. Sidang Parlimen telah menjadi gelanggang sarkas dan punca utama ia berlaku seperti itu kerana speaker tidak berwibawa.

Semasa saya masih bertugas sebagai penjawat awam, saya kerap ke Dewan Rakyat sebagai pemerhati mewakili kementerian atau jabatan saya sejak awal 1990-an.

Saya menyaksikan kemerosotan sidang Parlimen daripada kelolaan Speaker Mohamad Zahir Ismail dikuti Ramli Ngah Talib hingga kepada Pandikar Amin Mulia.

Benar, sidang dewan jadi lebih rancak dengan bertambahnya ahli-ahli Parlimen pembangkang tetapi di bawah Zahir ia masih terkawal, tetapi, di bawah Pandikar ia menjadi sarkas.

Punca utamanya, Zahir sebagai bekas hakim lebih dihormati, tegurannya diterima tetapi Pandikar tidak lagi bersikap adil.

Beliau terang-terangan menyokong kerajaan tanpa berselindung. Lebih daripada itu, beliau memprovokasi ahli-ahli Parlimen pembangkang dan menyingkirkan ahli-ahli Parlimen yang kanan seperti Lim Kit Siang tanpa justifikasi yang jelas.

Natijahnya, speaker disumpit malah disorak oleh ahli Parlimen Pembangkang dengan perkataan yang kasar, memalukan dan tidak beradab mengikut etika Parlimen.

Ahli-ahli politik dan pemerhati sering membanding speaker mutakhir dengan Mohamad Noah Omar (Noah Beirut) yang menjadi speaker Parlimen pertama 1959-1964.

Noah mengawal sidang dengan baik dan memberi masa berhujah yang cukup kepada semua ahli  dewan tanpa mengira mereka kerajaan atau pembangkang.

Pada zaman beliau, tokoh-tokoh pembangkang seperti Zulkifli Muhammad, Asri Muda, Tan Chee Koon, SP Seevinasagam dan lain-lain diberi peluang berhujah secara bernas tanpa diganggu. Buktinya dapat dilihat dalam rekod Hansard Parlimen.

Semasa belajar di United Kingdom (UK) selama enam tahun, saya minat sekali menonton sidang House of Commons yang disiar secara langsung.

Walaupun ruang sidang begitu sempit dan ada ahli Parlimen yang terpaksa berdiri, namun sidang berjalan dengan terhormat, termasuk ketika membahaskan isi-isu yang panas.

Malah, bahasa yang digunakan oleh ahli-ahli Parlimen Britain sangat baku dan bermutu tinggi. Tidak ada “shouting match”.

Saya teringat kata Mohamed Suffian Hashim, bekas ketua hakim negara yang ditanya, apakah ilmu yang paling berguna yang dipelajarinya daripada tamadun British.

Beliau menjawab: “The British taught me how to disagree and argue in a civilised manner” (Mereka mendidik saya untuk berbalah dan berhujah secara bertamadun).

Saya teringat juga ucapan pertama Mustapha Ali, ahli Parlimen Dungun ketika kembali ke Parlimen pada 1999, selepas 20 tahun berada di luar Parlimen. Beliau melahirkan rasa terkejut dengan prosiding Parlimen yang kacau bilau dan huru hara.

Selain speaker dan sidang dewan, martabat Parlimen atau badan legislatif sebagai satu daripada tiga badan utama selain badan eksekutif dan badan kehakiman perlu dikembalikan dengan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Sebelum dimansuhkan pada 1992, Parlimen mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang berfungsi melantik dan memecat pegawai-pegawai Parlimen.

Selepas dimansuhkan, kakitangan Parlimen terletak di bawah kelolaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Tempoh jawatan serta kebajikan mereka tidak berbeza daripada kakitangan kerajaan yang lain.

Setiausaha Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Negara adalah dua jawatan terpenting dalam perkhidmatan Parlimen.

Dahulunya, kedua-dua jawatan tersebut adalah jawatan tertutup serta mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu di bawah Perlembagaan selaras dengan amalan sistem “Westminster” yang diamalkan di United Kingdom dan lain-lain negara Komanwel.

Jawatan-jawatan tersebut perlu dikembalikan ke martabatnya yang asal bagi membolehkan penjawat-penjawatnya bertindak adil kepada pihak kerajaan dan pembangkang dalam mengembalikan prosiding dewan dan urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya.

Selain itu, jawatan ketua pentadbir Parlimen yang diwujudkan semasa Nazri Aziz selaku menteri yang mengendalikan urusan Parlimen perlu dikembalikan kepada pegawai Parlimen sepenuh masa, tanpa tertakluk kepada pertukaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Peranan setiausaha Dewan

Sebelum wujudnya jawatan ini, pentadbiran Parlimen berjalan dengan baik di bawah seliaan Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR). Sebenarnya tidak ada keperluan ketua pentadbir Parlimen diwujudkan selain daripada membuka peluang jawatan kanan kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Terlalu banyak sungutan terhadap prestasi SUDR sekarang. Roosme Hamzah dilihat terlalu condong kepada kerajaan BN, termasuk dakwaan beliau mengolah semula Hansard tanpa merujuk kepada setiausaha Dewan Rakyat.

Hansard adalah dokumen penting perdebatan Parlimen yang ditulis secara verbatim. Jika perlu diolah, ia hendaklah dirujuk kepada ahli Parlimen yang terlibat dan diputuskan oleh Setiausaha Dewan. Beberapa ahli Parlimen membuat bantahan ke atas isu ini.

SUDR tersebut juga dilihat menerima imbuhan daripada kerajaan terdahulu apabila dinaikkan gred jawatannya beberapa kali secara khas kepada penyandang sehingga mengatasi gred ketua pentadbir Parlimen yang merupakan pegawai Parlimen paling kanan dalam struktur baharu.

Ini bukan gambaran yang cantik kepada seorang pegawai Parlimen yang dikehendaki bersikap adil dan tidak boleh dilihat mendapat imbuhan natijah sokongan atau bantuan kepada kerajaan (tidak kira kerajaan dahulu atau sekarang).

Penjawat jawatan tinggi Parlimen perlu bertindak adil dan dilihat berlaku adil sama seperti hakim mahkamah.

Pada awal 1990-an, Speaker Zahir mempunyai hubungan yang bermasalah dengan SUDR, Wan Zahir. Zahir bercadang mengambil tindakan terhadap Wan Zahir.

Beliau bagaimanapun diperingatkan akan kekebalan SUDR, di mana SUDR dan setiausaha Dewan Negara (SUDN) hanya boleh dibuang kerja melalui tribunal sama seperti pemecatan hakim Mahkamah Tinggi.

Peristiwa ini mencetuskan konflik hingga membawa kepada pemansuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen dan pegawai-pegawai Parlimen diletakkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, di mana mereka boleh ditukarkan ke jabatan-jabatan lain seperti penjawat awam biasa. Hilanglah kekebalan pegawai-pegawai Parlimen.

Pegawai-pegawai Parlimen perlu bertindak “without fear or favour’’ (tanpa gentar dan memihak) kerana kerajaan boleh bertukar setiap lima tahun, tetapi mereka kekal di situ dan tidak boleh diancam, dianaktiri, dibuang kerja atau ditukarkan ke jawatan lain.

Beberapa tahun dahulu ada pegawai kanan Parlimen yang dianiayai sehingga hilang pangkat walaupun dikekalkan dalam gred gaji yang sama. Sekiranya beliau bertugas dalam syarikat swasta beliau boleh mengemukakan saman kepada Parlimen atas “constructive dismissal’’.

Angkat martabat Dewan Negara

Dalam era Malaysia Baharu ini, Dewan Negara perlu diaktifkan supaya lebih cergas dan tidak dilihat sebagai sampan tunda kepada Dewan Rakyat dan Kerajaan yang memerintah. Walaupun Ahli-ahli Dewan Negara dilantik (oleh Yang di-Pertuan Agong atau Negeri-Negeri), mereka perlu mempunyai peranan, perwatakan dan kuasa-kuasa tertentu.

Mereka perlu dipilih daripada kalangan pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa dan profesional, bukannya pesara politik, perkhidmatan awam atau wakil-wakil minoriti orang-orang asal, orang seni, NGO dan lain-lain atau hanya sekadar bertujuan membalas jasa mereka.

Mereka perlu berupaya membahaskan semula rang undang-undang yang dibahaskan di Dewan Rakyat sebelumnya.

Dewan Negara perlu diberi peranan sesuai dengan kedudukannya seperti mengendalikan pemilihan penjawat-penjawat awam yang utama seperti Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan lain-lain jawatan utama yang  dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun belum berlaku, Ahli Dewan Negara boleh mengemukakan Rang Undang-undang di Dewan Negara. Buat masa sekarang semua Rang Undang-Undang bermula di Dewan Rakyat dan kemudiannya dibentangkan di Dewan Negara untuk kelulusan.

Seingat saya, setakat ini belum pernah Dewan Negara menolak atau mengembalikan semula Rang Undang-undang untuk pindaan atau penambahbaikan ke Dewan Rakyat.

Ini mengesahkan tanggapan rakyat bahawa Dewan Negara adalah sampan tunda (rubber stamp) kepada kerajaan dan Dewan Rakyat.

Hujah para senator jarang diberi perhatian atau disiarkan. Pada hemat saya, telah tiba masanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil inisiatif untuk membuat liputan dan menyiarkan prosiding Dewan Negara.

Di United Kingdom, perdana menteri boleh dilantik daripada kalangan senator untuk mengisi kelompangan dalam keadaan luar biasa.

Sir Alex Douglas-Home dilantik sebagai perdana menteri Britain tahun 1963 ketika masih ahli House of Lords menggantikan Harold McMillan yang jatuh sakit secara tiba-tiba dan Parti Konservatif memilihnya sebagai pengganti. Setelah mengangkat sumpah beliau bertanding dalam pilihan raya kecil dan dipilih sebagai ahli Parlimen.

Dewan Negara tidak perlu menjadi sekuat Dewan Senat Amerika Syarikat namun ia perlu diberi suntikan baru untuk aktif sesuai dengan tarafnya dalam Parlimen seiring dengan perkembangan politik semasa.

Enam puluh tahun adalah tempoh yang terlalu panjang untuk Dewan Negara terus lena dan menjadi saksi bisu kepada tindakan-tindakan kerajaan dan prosiding Dewan Rakyat. Senator perlu dilihat sebagai berperanan dan berprestij dalam era Malaysia Baharu. – 17 Julai, 2018.

* Dr Sabirin Ja’afar ialah bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dan Profesor UTM. Sebelum itu beliau bertugas dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia selama 25 tahun.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen