Jangan putus harapan meskipun wujud retorik perkauman, kata Khalid


Sheridan Mahavera

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata politik perkauman dan agama akan terus wujud selagi rakyat menyokong pihak yang menyebarkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2018.

RAKYAT Malaysia belajar daripada pengalaman yang politik kaum dan agama akan tetap wujud dalam Malaysia baru tetapi menteri Khalid Abdul Samad menggesa rakyat supaya tidak putus harapan.

Sekurang-kurangnya dalam pasca-Barisan Nasional, ia tidak akan menjadi kerajaan yang memainkan isu perkauman dan agama, kata menteri Wilayah Persekutuan yang baharu.

Retorik bersifat menghasut yang meresap ke dalam wacana umum, terutamanya mengenai pelantikan bukan Islam mengetuai institusi penting, hanya akan berakhir apabila rakyat Malaysia berhenti mengundi parti yang menyebarkan politik sedemikian.

Apa yang dilakukan Pakatan Harapan (PH), kata Khalid, menyingkirkan perkauman dan pelampau agama dari tampuk kuasa.

“Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat adalah menyingkirkan mereka daripada arena politik,” kata pemimpin kanan Amanah.

PH berkempen dengan janji untuk menamatkan politik perkauman dan agama. Tiga daripada empat partinya terdiri daripada pelbagai kaum.

Walaupun menggambarkan ia sebagai parti Islam yang progresif, Amanah menawarkan keahlian penuh kepada bukan Islam dan mempunyai pemimpin agama yang berbeza di semua peringkat.

Parti PH dan sekutunya, Parti Warisan Sabah, juga berbilang etnik, berjaya menawan 124 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, parti Melayu Umno dan parti Islam konservatif PAS masing-masing memperoleh 51 dan 18 kerusi. Penganalisis mengatakan kemenangan mereka menandakan masih ada permintaan daripada orang Melayu untuk parti yang memperjuangkan isu perkauman dan agama.

Pemilihan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden baru Umno juga mencondongkan lagi parti ke kanan.

Baru-baru ini, Umno menuduh PH cuba menjadikan Malaysia menjadi negara Kristian selepas Tommy Thomas dan Richard Malanjum dilantik sebagai peguam dan ketua hakim negara.

Ia tuduhan lama dan dibantah banyak kali oleh PH tetapi Khalid percaya pembangkang akan terus memainkan isu itu kerana ia satu-satunya faktor pelaris.

“Pembangkang tidak dapat menangani isu itu, jadi mereka menyuburkannya dengan kebimbangan  orang ramai dan memberikan penjelasan tidak tepat mengenai pelantikan ini untuk menunjukkan orang Kristian mengambil alih negara ini.”

Sebenarnya, Islam sebagai agama rasmi dan integriti institusi Islam tidak akan terjejas dengan pelantikan ketua hakim atau peguam negara.

“Mahkamah agama mempunyai struktur kuasa sendiri di mana peguam negara atau ketua hakim tidak mempunyai peranan di dalamnya.”

Khalid berkata politik perkauman hanya boleh ditolak sekiranya undi orang awam memilih untuk berbuat demikian dalam pilihan raya umum akan datang.

“Anda tidak boleh benar-benar menghapuskan kumpulan pinggiran dalam mana-mana masyarakat. Ekstremis wujud dalam semua masyarakat.

“Tetapi jika rakyat dimaklumkan mereka akan menolaknya dan ia tidak akan berada di dalam arus perdana dan mengumpul sokongan.” – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen