AHLI DAP yang didakwa mencabul pelayan wanita sambilan yang juga penuntut kolej di Pulau Pinang akan didakwa esok, kata polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata, lelaki berusia 50an yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung itu akan didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan ke atas individu dengan niat mencabul kehormatan.
Suspek yang juga bekas pembantu kepada ahli dewan undangan negeri DAP yang juga ahli majlis PBT, didakwa menyerang secara seksual pelayan terbabit pada 6 Julai lalu di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai Georgetown.
Dalam kejadian lewat malam itu, lelaki terbabit didakwa memeluk dan mencium mangsa beberapa kali di mulutnya dan cuba melakukan seks oral ke atasnya dan mencabulnya. Dia turut didakwa menawarkan wang kepada wanita terbabit untuk tidur dengannya.
Pelayan sambilan berusia 21 tahun yang juga penuntut kolej itu membuat laporan polis dua jam selepas kejadian.
Dalam satu sidang media pada Jumaat lalu, wanita terbabit memberitahu media suspek tertinggal kad namanya di premis berkenaan.
Dia juga dilaporkan berkata, lelaki itu cuba menawarkan wang untuk menyelesaikan kes tersebut menggunakan pihak ketiga.
Suspek ditahan Khamis lalu dan direman untuk siasatan lanjut dan dijangka akan dibebaskan pada Sabtu. – 17 Julai, 2017.
Komen