POLIS sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat pengguna Facebook yang melakukan ugutan dan tuduhan “anti Islam” terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid.
Ketua Polis Pulau Pinang A Thaiveegan berkata pihaknya sudah meminta maklumat mengenai pengguna Facebook tersebut daripada SKMM.
“Kami akan maklumkan kepada pengadu mengenai perkembangan siasatan,” katanya menerusi mesej WhatsApp petang ini.
Syerleena, membuat laporan polis minggu lepas selepas menerima ugutan bunuh menerusi sekeping nota bertulisan tangan dalam peti surat pusat khidmatnya di Island Glades.
Beliau turut diganggu di Facebook oleh beberapa pengguna yang menuduhnya anti Islam. Posting terbaharu menyatakan yang darahnya “halal” untuk dibunuh kerana menjadi “pengkhianat kepada Islam”.
Dalam laporan polis yang dibuatnya, beliau menyenaraikan beberapa akaun Facebook yang telah menyebarkan kenyataan bersifat menghasut terhadapnya.
Polis berkata ugutan bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum selama dua tahun, denda atau kedua-duanya. Jika ugutan itu menyebabkan kematian, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.
Posting Facebook terhadap Syerleena mungkin disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya. Denda RM1,000 sehari dikenakan sekiranya kesalahan itu terus dilakukan selepas disabitkan bersalah.– 16 Julai, 2018.
Komen