PENGERUSI Hindraf P Waytha Moorthy dan pemimpin DAP Liew Chin Tong antara lapan individu yang akan mengangkat sumpah sebagai senator esok.
Kedua-dua mereka sebelum ini dikatakan akan menyertai Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dewan Negara dalam satu kenyataan menyebut, selain Waytha dan Liew, nama lain yang dilantik sebagai senator adalah Raja Kamarul Bahrain (Amanah), Radzi Jidin (Bersatu), Marzuki Yahya (Bersatu) dan Ismail Ibrahim.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu masing-masing mencalonkan Husain Awang (PAS) dan personaliti televisyen Asmak Husin.
Mereka akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada pukul 2 petang esok.
Waytha Moorthy tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan respons, manakala Liew pula akan mengulas mengenai perkara itu selepas mengangkat sumpah jawatan esok.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad awal bulan ini berkata terdapat beberapa kekosongan dalam Kabinet yang akan diisi oleh senator.
Setakat ini, 27 menteri dan 23 timbalan menteri sudah dilantik.
Daripada lapan senator, hanya enam boleh menyertai kerajaan kerana mereka adalah pemimpin Pakatan Harapan.
Buat masa ini, jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) masih kosong.
Empat timbalan menteri untuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Luar juga masih belum dilantik.– 16 Julai, 2018.
Komen