RUU SST mungkin diluluskan pada sidang Parlimen ini, kata menteri


Chan Kok Leong Yasmin Ramlan

Kerajaan akan memperkenalkan cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6% pada September, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Julai, 2018.

KERAJAAN akan memperkenalkan cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6% pada September, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.

Kadar itu adalah sama sebelum cukai berkenaan (SST) ditukar dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di bawah pentadbiran terdahulu pada 2015.

Kerajaan menyasarkan kutipan SST sebanyak RM4 bilion tahun ini, tambah Lim.

Beliau menjangkakan rang undang-undang (RUU) SST akan diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini, yang bermula hari dan berakhir pada 16 Ogos.

“Cukai jualan akan ditetapkan pada kadar 10% manakala cukai perkhidmatan 6% seperti sebelum ini. Kami harap akan mula mengutip SST pada 1 September,” katanya pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini

Sementara itu di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Liew Vui Keong, berkata Putrajaya akan mengutamakan RUU pemansuhan GST dan memperkenalkan RUU SST pada sidang dewan kali ini.

“Keutamaan adalah untuk memansuhkan GST. Dan juga memperkenalkan SST,” kata Liew yang juga ahli Parlimen Batu Sapi.– 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen