SELEPAS 10 hari dalam teka-teki, DAP akhirnya menerima surat rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh berkata surat berkenaan diterima pagi ini.
“CEC (Jawatankuasa Tertinggi Pusat), akan mengadakan mesyuarat pada Rabu untuk membincangkan isi kandungan surat berkenaan. Kenyataan akan dikeluarkan selepas itu,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui mesej WhatsApp.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung isi kandungan surat berkenaan.
Pada 7 Julai lalu, ketua pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah mengeluarkan kenyataan mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan parti untuk CEC. Parti itu bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Razin berkata pemilihan CEC DAP pada 29 September 2013 tidak diadakan mengikut undang-undang yang meMbawa kepada aduan daripada beberapa ahli parti, di mana pelantikan CEC tidak sah.
Katanya, pemilihan sepatutnya dibuat berdasarkan senarai delegasi yang digunakan untuk pemilihan CEC DAP pada 15 Disember, 2012 membabitkan 2,576 delegasi daripada 854 cawangan.
DAP berdepan masalah itu selepas berlaku kesilapan teknikal ketika pengiraan undi pada pemilihan parti Disember 2010, menyebabkan pelanggaran peraturan dalam keputusan pemilihan CEC.
Kesilapan itu bagaimanapun dikesan dan diperbetulkan tetapi terdapat sebilangan ahli parti yang tidak berpuas hati dan membuat aduan kepada RoS, menyebabkan CEC yang dipilih diisytiharkan tidak sah. DAP kemudiannya mengadakan satu lagi pemilihan pada September 2013, dan membariskan pimpinan yang sedia ada.
Pada 8 Julai, CEC DAP dalam satu mesyuarat tergempar membuat keputusan untuk tidak mengadakan pemilihan baharu, dan akan mengadakan mesyuarat dengan RoS untuk menyelesaikan perkara itu. – 17 Julai, 2017.
Komen