MENTERI Kewangan Lim Guang Eng berjanji tiada lagi serbuan bersenjata daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kerajaan berjanji tidak ada lagi serbuan yang disertai dengan orang-orang yang bersenjata.
“Tidak akan ada lagi serangan serbuan. Taktik seperti itu hanya akan digunakan bila berdepan dengan orang yang betul-betul jahat macam Jho Low,” kata Lim pada Persidangan Cukai Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk memeriksa individu yang mengelak daripada membayar cukai dan serbuan seperti itu tidak diperlukan.
LHDN juga kata Lim akan mengkaji prosedurnya.
“LHDN akan kembali kepada kedaulatan undang-undang dan anda juga mesti mematuhi undang-undang, dan bayar cukai,” seloroh beliau.
Lim berkata pembayar cukai perlu berbincang dengan LHDN cara untuk membayar cukai mereka.
“Anda tetap perlu bayar cukai kerana kerajaan perlukan duit untuk pembangunan dan operasi,” katanya.
“Tetapi saya percaya, apabila rakyat percaya kepada LHDN, mereka akan bayar cukai. Percaya kepada kerajaan ini, kerana anda telah pilih kami untuk menggunakan cukai dengan betul,” kata Lim.
Tambah beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu menyalahguna kutipan cukai untuk membayar projek yang terlalu mahal dan hutang 1MDB.
Sementara itu, Lim menjangkakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diluluskan pada persidangan Parlimen kali ini.
Semua ahli Parlimen hari ini mengangkat sumpah di Dewan Rakyat. Persidangan yang bermula hari ini akan berkahir pada 16 Ogos.
“Cukai jualan akan ditetapkan pada kadar 10% manakala cukai perkhidmatan pada 6%, sama seperti dulu. Kita berharap dapat mengutip SST pada 1 September nanti,” kata Lim.
Kerajaan katanya menyasarkan untuk mengutip RM4 bilion cukai SST pada tahun ini. – 16 Julai, 2018.
Komen