Jangan salah pilih ketua Finas


Haris Hauzah

APABILA kita menyebut nama Finas atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, tidak sedikit dari kalangan kita yang pasti akan mengerut dahi dan menggelengkan kepala.

Kini setelah 38 tahun usianya, ramai yang masih bertanya-tanya tentang jasa terbesarnya sejak ia mula dilahirkan oleh kerajaan Malaysia pada tanggal 26 Julai 1980 untuk menjadi badan yang menjaga serta memajukan seni filem untuk negara.

Justeru tulisan ini mempertanyakan apakah pencapaian filem kita yang dibantu mereka ?.

Ya, mereka. Individu dan manusia yang mengendalikan lembaga filem ini yang sekian lama dihurung dan dikerumuni oleh sejumlah manusia yang mencari untung secara buta daripada kekayaan wang, menjadi lubuk dana berisi intan dan permata.

Elok kita menoleh ke belakang seketika dan melihat ke Iran, sebuah negara yang bertatih menjuarai produk-produk filem semenjak revolusi 1979, yang disebut oleh pemimpin tertingginya Ali Khamenei sebagai suatu jenis budaya bahaya yang sedang melanda dunia, khususnya dalam dunia Muslim iaitu perang budaya.

Perang budaya adalah suatu gerakan tersusun dan berstruktur yang digerak untuk memaksakan suatu keyakinan dalam pembudayaan yang baharu sebagai ganti kepada kebudayaan dan keyakinan lama yang sekian lama wujud sebagai doktrin dalam fikrah sesuatu bangsa.

Objektif paling utama adalah untuk meranapkan segala urat dan sendi keyakinan lama yang berlatarkan kredibiliti ilmu serta keluasan pengalaman dengan suatu kebudayaan asing yang mengangkat budaya populis atau juga disebut sebagai “pop culture” atau budaya pop.

Budaya pop inilah yang meranapkan filem sebagai sebuah seni yang menghidupkan hati dan jiwa manusia.

Seni filem yang mengangkat kepelbagaian sosio budaya dan teras kekayaan fikiran masyarakat kita diganti dengan hiburan bodoh dan gila yang penuh dengan jenaka lucah merendahkan gadis dan menjenakakan fizikal manusia serta mentertawakan kekurangan orang kelainan upaya dan orang tua.

Percaya atau tidak, inilah kandungan yang dijadikan isi dalam hiburan masyarakat yang diletak dalam panggung sebagai filem Malaysia dan drama cereka di televisyen seluruh negara sehingga lelucon jenaka jadi sinonim dengan karya-karya filem Malaysia.

Melalui kesedaran perang budaya itulah, Iran melawan sehingga berhasil menumpaskan budaya-budaya asing jahat yang mahu memusnahkan mereka dengan kebijaksanaan mengurus perang budaya yang maha gila dengan suatu gerakan revolusi budaya yang bijaksana.

Di Malaysia, baik sejak kita hidup mengamal dan mewarisi budaya-budaya jahanam di bawah telunjuk “Malaysia Lama”, “Malaysia Baharu” yang kita sedut nafasnya pada saat ini masih dilihat sama dan serupa.

Finas harus direvolusikan jiwa dan pemikirannya. Ia harus dibersihkan dari budaya-budaya songsang lama seperti mengangkat sosok individu yang tidak mengerti apa-apa untuk ditambat dan dicucuk hidungnya oleh beberapa kerat manusia sama – yang sejak sekian lama menjarah licin tabung dana negara untuk filem dengan mengabaikan resam dan tradisi budaya filem.

Badan dan lembaga penting seperti Finas adalah badan pemikir budaya yang harus diketuai oleh manusia pemikir yang faham dan mengerti apa itu revolusi budaya dan peri penting mengatur strategi perang untuk melawan budaya jahat seperti budaya menjilat dan membodek ketua-ketua dan panel serta ahli jawatankuasa yang menguruskan kekayaan dananya.

Finas perlu dijauhkan dari budaya popular dengan mematikan cita-cita pihak tertentu untuk mengangkat selebriti cantik dan jelitawan filem menjadi panglima atas nama dan usaha “pop-culture” kerana apa yang kita perlukan adalah revolusi budaya bagi menghasilkan filem sebagai sebuah produk yang mampu membanggakan bangsa dan negaranya.

Justeru, dalam konteks membicarakan hal pimpinan sebuah organisasi sepenting Finas, kita tidak boleh tersalah membuat kira-kira.

Adalah lebih baik kita membesarkan Zoo Negara, yang terletak di belakang Finas, daripada memiliki seorang ketua Finas yang semudah dan sewenangnya diperdaya.– 16 Julai, 2018.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen