MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) bukan “kitab” yang perlu ditaati, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata demikian selepas kerajaan melantik bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohammad Ariff Md Yusof sebagai speaker dan bukan ahli Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto itu.
“Sila ingat manifesto itu bukanlah ‘kitab’. Ia hanya sebagai panduan. Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadang-kadang tidak boleh. Jadi kita perlu praktikal,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat.
Beliau juga berkata pelantikan Ariff diterima baik oleh rakyat Malaysia walaupun ia mengecewakan pembangkang.
“Rakyat suka orang yang tiada kaitan dengan parti,” kata Dr Mahathir.
Pengerusi PH juga menegaskan borang lantikan Ariff “sudah disediakan lebih awal” walaupun Parlimen Barisan Nasional dan PAS mengatakan ia melanggar Peraturan Tetap Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan sebelum Dr Mahathir mengumumkan nama Ariff, menuduh kerajaan tidak mematuhi notis 14 hari untuk menyerahkan nama speaker kepada Parlimen.
Oleh kerana tiada nama lain yang dicalonkan untuk jawatan speaker, Ariff segera diterima sebagai speaker oleh Setiausaha Dewan Rakyat.
Dr Mahathir berkata tindakan ahli Parlimen pembangkang hanya sandiwara dan mereka mahu mencipta kekecohan pada hari pertama sidang Parlimen.
“Ia semua sandiwara. Buat pertama kalinya, bekas perdana menteri meninggalkan Dewan,” katanya, merujuk kepada Najib Razak.
Laman web pro-BN, Portal BN, menerbitkan artikel yang mengatakan pelantikan Ariff sebagai speaker boleh dicabar di mahkamah.
Ariff adalah ahli Amanah tetapi sudah melepaskan jawatannya sebagai ketua Jawatankuasa Disiplin dan ahli jawatankuasa penasihat, lapor Malaysiakini. – 16 Julai, 2018.
Komen