KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau tidak tinggalkan Dewan Rakyat seperti ahli Parlimen pembangkang lain hari ini kerana tidak mahu mencemarkan nama Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika ditanya alasannya untuk tidak turut memboikot persidangan ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Speaker baharu, Mohamad Ariff Yusof.
“Cara macam mana kita nak bantah itu boleh kita buat sewaktu perbahasan nanti ataupun selepas upacara perasmian pembukaan Parlimen pada hari esok dalam perbahasan ataupun melalui standing order pada Rabu ini.
“Jadi saya rasa hari ini lebih baik jika kita menghormati majlis dan kita tak buat apa-apa tindakan yang mencemarkan Barisan Nasional sebagai pembangkang.
“Saya hanya cakap pada diri saya. Saya tidak mahu cakap bagi orang lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas sesi mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat hari ini.
Selain Khairy, turut kekal mengikuti persidangan semasa tindakan keluar Dewan itu adalah seorang lagi bekas menteri, Anifah Aman dan juga Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli.
Kesemua ahli pembangkang lain meninggalkan Dewan beberapa minit selepas Dr Mahathir memulakan mengumumkan nama Mohamad Ariff dalam ucapannya.
Ahli Parlimen pembangkang itu berpendapat pelantikan itu tidak mengikut undang-undang kerana nama tersebut sepatutnya dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan bermula.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun mengesahkan bahawa nama Mohd Ariff dikemukakan pada 2 Julai, dalam tempoh 14 hari tersebut. – 16 Julai, 2018.
Komen