NAJIB Razak menarik balik samannya berhubung konflik kepentingan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Amar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas.
Peguamnya, Badrul Hashim Abdullah berkata saman itu ditarik balik hari ini kerana firma guaman itu mahu menyusun semula kesnya dengan pasukan pembela Najib yang lain Najib, diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Saman itu, yang difailkan pada 30 Jun, akan difailkan semula selepas menyelesaikan kes itu dengan pasukan guaman lain, kata Badrul selepas pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib memfailkan saman terhadap ketiga-tiga pegawai itu yang terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), memetik kemungkinan wujudnya konflik kepentingan berdasarkan kenyataan sebelum ini.
Bekas ketua Umno dan Barisan Nasional itu memohon kos dan sebarang perintah yang dirasakan munasabah oleh mahkamah.
Shukri dan Amar Singh mengetuai siasatan terhadap dana pelabur nagara bermasalah 1MDB sementara Thomas mengetuai pendakwaan terhadap Najib.
Pada 4 Julai, Najib didakwa dengan tiga tuduhan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM.
Dalam pertuduhan di bawah Akta SPRM, Najib dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk menerima suapan berjumlah RM42 juta antara 17 Ogos 2011 dan Februari 2012.
Sementara itu, tuduhan pertama beliau di bawah Kanun Keseksaan mendakwa beliau menerima RM27 juta daripada anak syarikat 1MDB, SRC International dalam kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
Tuduhan kedua dan ketiga menyatakan beliau menerima RM4 juta dan RM10 juta pada tarikh yang sama daripada syarikat sama. – 16 Julai, 2018.
Komen