BEKAS perdana menteri Najib Razak tiba di Parlimen bagi persidangan Dewan Rakyat buat pertama kali hari ini selepas kekalahan partinya dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Beliau yang berbaju Melayu hitam tiba di lobi Parlimen pada jam 9.40 pagi bersama beberapa pemimpin Umno yang lain sambil tersenyum kepada pemberita.
Antara pemimpin yang kelihatan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.
Pemimpin lain yang tiba sejurus selepas ketibaan Najib adalah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Secara tradisi, kerusi pertama di blok kerajaan – di bahagian kanan yang paling dekat dengan speaker – akan diduduki oleh perdana menteri sebagai ketua kerajaan.
Selain PM, bangku kerajaan juga akan diisi oleh anggota jemaah menteri dengan portfolio utama seperti kementerian dalam negeri, kewangan, ekonomi dan pertahanan.
Mengikut konvensyen Parlimen, susunan kerusi di blok pembangkang dibuat berdasarkan parti yang mempunyai banyak kerusi di depan, diikuti parti yang lebih kecil.
Berdasarkan keputusan PRU14, turutannya ialah BN (54) diikuti Gabungan Parti Sarawak (19) dan PAS (18). Warisan yang mempunyai lapan kerusi di Dewan Rakyat tidak menyertai Pakatan Harapan tetapi menyokong kerajaan itu di peringkat Persekutuan. – 16 Julai, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan