Rakyat Malaysia berharap jadi tuan rumah Piala Dunia 2034


Kamles Kumar

Penyokong pasukan Perancis yang hadir di Dataran Merdeka meraikan kemenangan selepas pasukan itu menewaskan Croatia pada perlawanan akhir Piala Dunia Rusia 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Julai, 2018

RAKYAT Malaysia yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia di Dataran Merdeka awal pagi ini berharap suatu hari nanti mereka dapat menyaksikan secara langsung perlawanan berprestij itu berikutan rancangan negara untuk menjadi tuan rumah pada edisi 2034.

Ketika Perancis membenam pasukan Croatia 4-2 pada perlawanan itu, ribuan peminat sukan bola sepak membanjiri dataran untuk menyaksikan siaran langsung menerusi skrin besar yang disediakan.

Ada di antara peminat bola sepak yang hadir menyatakan hasrat mereka untuk melihat pasukan Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia.

“Pasukan bawah 19 tahun sekarang ni bagus. Saya harap mereka akan menjadi senior dan membawa pasukan negara ke Piala Dunia, kata seorang anggota polis bantuan Saufi Ghazali kepada The Malaysian Insight.

Salah satu cara untuk melayakkan pasukan negara adalah dengan menjadi tuan rumah. Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan idea untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan akhir Piala Dunia 2034 bersama negara Asean lain.

Ramai rakyat Malaysia bersetuju untuk Malaysia menjadi penganjur bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam, kata Nor Azlan, 30, yang bekerja sebagai pemandu dari Klang.

“Kami semua setuju dengan langkah yang baik ini. Pasukan junior kita sedang meningkat naik, mereka berpotensi untuk membawa pasukan negara ke pertandingan berprestij ini,” katanya.

Seorang pelajar, M. Thevakavi berkata, sebagai sebuah negara “bola sepak”, Malaysia sepatutnya tidak ada masalah dalam membangunkan sukan berkenaan.

“Bagus, kita adalah negara bola sepak. Malaysia bukan negara dunia ketiga, kita mampu jadi lebih baik. Kali ini, kita bangunkan golongan belia, yang mana ia adalah satu langkah yang baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tontonan itu merupakan anjuran Nadi Harapan, yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan, bersama beberapa kumpulan masyarakat sivil lain.

Antara menteri yang hadir adalah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beberapa ahli Parlimen baharu seperti Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan P. Prabakaran (Batu) turut kelihatan. Duta Perancis dan Croatia juga hadir memakai jersi pasukan masing-masing.

Suasananya meriah seperti perayaan dengan kehadiran peniaga trak makanan dan penjual jersi, kain rentang dan bendera Perancis dan Croatia.

Setiap kali pemain Perancis Paul Pogba, Kyliaan Mbappe dan pemain Croatia Luka Modric menyentuh bola, suasana semakin gamat. Ketika pasukan yang bersaing menjaringkan gol, sorakan terus bergema.

Beberapa hadirin turut memuji kerajaan baru PH kerana menganjurkan acara sedemikian dan ahli politiknya yang mudah didekati.

“Ini kali pertama saya menyaksikan perlawanan Piala Dunia luar dari rumah Kami rasa macam berada di stadium. Penuh bersemangat.

“Ahli politik yang hadir juga mesra, saya boleh selfie dengan Syed. Tiada halangan, ia acara yang bagus,” kata seorang penuntut universiti, Peshminder Pall Singh.

Keluarga dari Perancis yang bercuti ke negara ini, Jean dan Agnes Cali turut terkejut dengan suasana di Dataran Merdeka. 

“Orang di sini sangat peramah. Kami amat kagum dengan penganjuran acara ini,” kata Agnes. 

“Kami tidak sangka sukan bola sepak sangat mendapat sambutan di negara ini, kami sangka ia hanya meriah di Eropah,” kata Jean. 

Rakyat Malaysia menaruh harapan kepada pasukan yang memenangi Kejohanan AFF bawah 19 tahun kali pertama dua hari lalu menewaskan Myanmar. – 16 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen