PUTRAJAYA akan meneruskan kontrak penerbitan program untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas membatalkannya sebelum ini, sekaligus menyelamatkan puluhan syarikat penerbitan daripada jatuh rugi atau gulung tikar.
Surat niat untuk 100 penerbitan program televisyen itu sebelum ini ditawarkan oleh RTM kepada syarikat penerbitan tempatan semasa pentadbiran Najib melalui proses “pitching” sebagaimana lazimnya, tetapi belum dikeluarkan kontrak.
Namun selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, ia mengumumkan semua kontrak kerajaan termasuk penerbitan program televisyen dengan RTM perlu dianugerahkan melalui proses tender, dan membatalkan semua surat niat yang belum diberikan kontrak.
Ini menyebabkan syarikat produksi menanggung kerugian kerana sudah memulakan proses penerbitan dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh berkata, beliau sudah menulis kepada Kementerian Kewangan meminta semua 100 produksi untuk RTM yang sudah mendapat surat niat diberikan pengecualian dan dikeluarkan kontrak yang sewajarnya.
“Saya sudah menulis kepada Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) pada Jumaat. Beliau telah bersetuju dan kita akan memberikan pengecualian bagi (kontrak) RTM,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim yang dihubungi The Malaysian Insight berkata pihaknya sudah dua kali mengadu hal tersebut kepada Putrajaya, kali pertama dengan Gobind dan kemudian dengan Lim.
“Kami jelaskan kepada menteri dan menteri setuju bahawa perolehan industri kreatif tidak boleh disamakan macam projek buat jalan raya atau buat bangunan,” kata Norman ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Menurut Norman, pihaknya menyuarakan keresahan penerbit filem yang terlibat dalam pertemuan PFM dengan Gobind pada 6 Julai lepas. Jumaat lalu, beliau sekali lagi membangkitkan perkara sama pada Lim semasa Majlis Konsultasi Bajet 2019.
Pada majlis itu beliau merayu agar kerajaan mempertimbangkan untuk terus menggunakan sistem “pitching” dan bukan tender, bagi perolehan RTM melibatkan industri kandungan kreatif.
Lim pada dialog Bajet 2019 juga mengakui perolehan bagi industri kreatif tidak wajar dibuat secara tender kerana ia industri “yang unik”.
“Oleh itu, bagi pihak PFM kami anggap isu ini sudah selesai,” kata Norman, yang juga ketua pegawai eksekutif KRU Studios, syarikat yang menerbitkan antara lain filem Hikayat Merong Mahawangsa dan animasi Ribbit.
Nasib 100 produksi RTM itu tidak menentu selepas Kementerian Kewangan dalam satu pekeliling pada 17 Mei lepas mengarahkan penangguhan bagi semua perolehan kerajaan bagi bekalan, perkhidmatan, perunding dan kerja baik secara tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus.
Pada 29 Jun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ismail Bakar mengarahkan mana-mana perolehan yang belum dikeluarkan kontrak atau surat setuju terima (SST) hendaklah dibatalkan dan diproses semula secara tender terbuka atau tender pra kelayakan.
Jelas Norman, walaupun proses penganugerahan kontrak penerbitan program RTM dibuat secara “pitching” semua syarikat produksi mematuhi harga yang ditetapkan oleh agensi itu, kata Norman.
Program televisyen selama 30 minit kini dibayar dalam lingkungan RM20,000 hingga RM25,000 manakala bagi slot 60 minit dibayar antara RM40,000 dan RM45,000, kata Norman.
Sementara itu, Norman meminta kerajaan meneliti rayuan penerbit agar kadar bayaran penerbitan program televisyen yang tidak berubah sejak 30 tahun disemak semula dengan segera.
“Kalau sekarang kita bercakap tentang reformasi pentadbiran, kita juga kena kaji semula kadar bayaran (program televisyen supaya) ikut kadar semasa,” katanya.
“Apabila kadar dinaikkan, bukan untungnya pada produser. Ini melibatkan krew juga. Kita kena kaji kadar itu supaya kita juga boleh tingkatkan prestasi ekonomi pekerja industri,” tambahnya. – 16 Julai, 2018
Komen