PENANGGUHAN projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengecewakan ramai pengendali perniagaan di Pahang, kerana mereka mempunyai harapan tinggi ia akan merangsang pembangunan ekonomi di negeri yang diterajui pembangkang Barisan Nasional itu.
Diluluskan oleh pentadbiran Najib namun kini disemak semula oleh kerajaan baharu yang menumbangkan BN, ECRL sepatutnya membawa perubahan yang menjana pendapatan negeri di pantai timur yang agak ketinggalan berbanding negeri di pantai barat.
Projek berkenaan juga boleh menyumbang kepada pendapatan negeri dan peluang pekerjaan ketika kerajaan negeri Pahang, yang masih di bawah pentadbiran BN, bimbang ia akan diabaikan oleh kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.
Namun kosnya yang meningkat serta syarat perjanjian yang meragukan memaksa kerajaan PH menangguhkan dan menyemak semula projek berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan pembaziran yang dibuat di bawah pentadbiran BN dan membayar hutang RM1 trilion.
Tetapi bagi syarikat dalam Dewan Perniagaan Malaysia-China Pahang, ECRL merupakan talian hayat dan kumpulan itu berharap kerajaan akan meneruskan dengan kontrak yang menawarkan kos lebih rendah.
Presidennya Andy Chiew Yoke Theng berkata ECRL amat perlu kerana pembangunan infrastruktur diperlukan untuk meningkatkan pembangunan di negeri pantai timur.
“Negeri di pantai timur agak jauh ketinggalan berbanding di pantai barat semenanjung.
“ECRL merupakan projek infrastruktur amat penting kepada kita, terutamanya sejak Lebuhraya Pantai Timur masih tidak disiapkan. Kami berharap kerajaan boleh siapkannya tidak lama lagi,” katanya.
Chiew berharap kerajaan boleh melihat ECRL secara profesional dan mempertimbangkan keperluan rakyat terhadapnya.
Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menyiapkan ECRL secara berperingkat sekiranya tidak mampu membina trek keseluruhan sejauh 688 kilometer sekali gus, dan untuk China menjalanannya sebagaimana lebih raya.
Kerajaan mengarahkan semua kerja-kerja untuk projek berkenaan ditangguhkan berikutan semakan semula terhadap skop projek dan kos akhir.
Projek itu diluluskan oleh pentadbiran Najib dan dikritik kerana menjadi salah satu projek rel termahal di dunia.
Sebaik sahaja siap, ia dijangka akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kuantan ke Kelantan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia akan memakan kos RM81 bilion, berbanding RM55 bilion yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Contractor China Communications Construction Sdn Bhd mula mengurangkan pekerjanya minggu lalu berikutan arahan penangguhan itu.
ECRL adalah salah satu projek yang disokong oleh China yang mana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka akan membincangkannya semula dengan pemimpin China apabila beliau melawat negara itu pada bulan Ogos.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan Chong Chin Fung berkata ECRL akan mengurangkan masa pengangkutan hasil tangkapan mereka dari Pahang ke Kuala Lumpur.
“Kita bergantung kepada lori untuk mengangkut produk kami ke Kuala Lunmpur. Dengan adanya ECRL, ia akan lebih efisien dan akan mengurangkan kos pengangkutan,” kata Chong.
Bagaimanapun, Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Cina Kuantan Kwan Siong Yong percaya ECRL tidak penting kepada pengeksport.
“Jumlah dagangan kami tidak tinggi dan kita sudah ada pelabuhan Kuantan, mengapa perlu eksport dari Pelabuhan Klang?” kata Kwan.
Katanya ECRL akan beroperasi dalam kerugian sekiranya jumlah dagangan tidak cukup.
Pengilang perabot berkata kebanyakan pengilang bimbang tentang isu buruh berbanding ECRL.
Beliau berharap kerajaan akan fokus berbanding menyemak dasar pekerja asingnya. – 16 Julai, 2018
Komen