BEKAS presiden MyPPP M Kayveas berdepan tuduhan salah guna kuasa membabitkan pembelian hartanah selepas beberapa pemimpin parti tersebut membuat laporan dan meminta polis untuk menyiasat perkara itu.
Setiausaha Pemuda MyPPP Jayaselan Rajoo membuat dua laporan polis di balai polis Sentul minggu lepas, menggesa polis menyiasat sama ada Kayveas menyalahgunakan kedudukan sebagai presiden parti untuk mendapatkan dana bagi membeli hartanah yang keseluruhannya bernilai RM28 juta.
Urusniaga itu didakwa berlaku di Malaysia, Singapura dan United Kingdom (UK).
Laporan itu berdasarkan lapan set dokumen dalam format PFD yang beredar di WhatsApp, yang mengandungi ratusan dokumen berhubung tranksaksi urusniaga tersebut sejak 2011.
Mengulas mengenai laporan polis tersebut, Kayveas memberitahu The Malaysian Insight yang beliau turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Saya sudah buat 15 laporan polis dan diberitahu yang tindakan akan diambil terhadap pelaku pada minggu depan,” kata Kayveas.
Jayaselan berkata beliau mahu polis mengenal pasti bagaimana Kayveas mengumpul dana bagi membuat pembelian tersebut, sama ada beliau menyalahguna kedudukannya atau terlibat dalam rasuah.
Beliau menggesa agar individu dan firma guaman yang disebut dalam mesej WhatsApp itu disiasat kerana terdapat dakwaan yang mereka juga terlibat dalam urusniaga tersebut.
Dalam laporannya, Jayaselan turut menggesa polis untuk menyiasat dakwaan yang Kayveas terlibat dalam penjualan darjah kebesaran.
Dokumen yang dilihat oleh The Malaysian Insigat menunjukkan cek tersebut dikeluarkan atas nama sebuah firma guaman yang berpangkalan di Seremban, dengan surat yang mengarahkan supaya firma tersebut melakukan pembelian.
Jayaselan berkata ahli parti mula menerima mesej WhatsApp berkenaan pada malam Khamis.
“Sebagai setiausaha pemuda, saya membuat laporan kepada polis untuk mereka menyiasat dokumen yang saya terima,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jayaselan berkata beliau tidak tahu pihak yang menyebarkan mesej WhatsApp berkenaan namun pasti yang ia mencalarkan imej Kayveas.
“Saya tak boleh sahkan sama ada ia tulen ataupun tidak, atau sama ada hartanah itu wujud. Apapun kesnya, terpulang kepada polis untuk melakukan siasatan.”
Seorang lagi ahli parti kanan, yang enggan namanya didedahkan, berkata ahli yang menerima mesej berkenaan berasa “terkejut dan bingung”.
“Adalah lebih baik untuk polis melakukan siasatan untuk mengenal pasti kesahihan kandungan mesej tersebut,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ahli parti sudah berdepan dengan Kayveas berhubung dakwaan tersebut, ahli parti kanan itu berkata mereka akan memutuskan tindakan selanjutnya.
MyPPP, parti komponen Barisan Nasional (BN), terbabit dalam konflik dalaman selepas Kayveas secara terbuka menyerang gabungan itu selepas beliau tidak dipilih untuk menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Susulan itu, parti bertindak memecat Kayveas yang ketika itu menyandang jawatan presiden pada April.
Kayveas, bagaimanapun, mendakwa yang pemecatan beliau bertentangan dengan Perlembagaan MyPPP yang menyatakan presiden hanya boleh diganti melalui perhimpunan agung atau perhimpunan agung luar biasa.– 16 Julai, 2018.
Komen