BAHAGIAN penyelidikan kontroversi yang menjadi tunjang agensi perisikan kerajaan Barisan Nasional terdahulu tidak akan dibubarkan, sebaliknya diberi arah tuju baharu dengan lantikan ketua baharu, kata sumber.
Bahagian tersebut, yang kini di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini menjadi tajuk utama berita selepas penyiasat mendapati ia mengetuai Perkhidmatan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO), yang tugas utamanya adalah untuk memantau pengkritik kerajaan bagi memastikan bekas perdana menteri Najib Razak kekal di tampuk kuasa.
“Peranannya akan disemak semula. Ia akan diberi hala tuju baharu dan ketua baharu. Kerajaan telah bersihkan bahagian itu yang didakwa disalah guna oleh kerajaan terdahulu,” kata sumber itu.
Difahamkan kontrak Ketua Pengarah MEIO Hasanah Ab Hamid tidak akan diperbaharui selepas ia tamat tempoh pada 30 Jun.
Dua pegawai dan pekerja kanan, yang didakwa terlibat dalam beberapa kes kontroversi, termasuk 1Malaysia Development Berhad dan pembunuhan Altantunya Shaariibuu, turut diarahkan untuk mengosongkan jawatan mereka.
Kediaman Hasanah di Seri Kembangan, turut diserbu polis yang mencari dokumen yang didakwa diserahkan Najib kepada Hasanah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mereka bagaimanapun pulang dengan tangan kosong.
Sebelum ini dilaporkan bahawa bahagian tersebut mempunyai kakitangan berjumlah kira-kira 300 orang dengan separuh daripadanya ditempatkan di luar negara.
Kedua pejabatnya di Putrajaya dan Jalan Bellamy di Kuala Lumpur telah dipagar dan beratus-ratus dokumen dirampas selepas Pakatan Harapan menang PRU14 dan mula mencari bukti berhubung pelbagai skandal kewangan yang berlaku semasa pentadbiran Najib.
MEIO adalah bahagian yang mengendalikan perkara membabitkan perhubungan antarabangsa, termasuk berperanan sebagai orang tengah dalam konflik yang berlaku antara kerajaan Thailand dan pemberontak Mara Patani.– 15 Julai, 2018.
Komen