WALAUPUN berdepan hukuman berat, banyak majikan di Sabah memilih menggaji pekerja asing tanpa izin untuk memenuhi pekerjaan yang tidak diisi pekerja tempatan.
Ini terutamanya dalam sektor pembinaan dan perladangan yang masih bergantung kepada buruh kasar.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (Shareda) Chew Shang Tai memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun negeri itu dilanda masalah pendatang asing tanpa izin yang membimbangkan, ia masih sangat memerlukan pekerja di kedua-dua sektor itu yang kini sedang mengalami masalah kekurangan pekerja sebanyak 20%.
“Pekerja tempataan enggan bekerja dalam industri 3D (merbahaya, kotor dan sukar), tetapi peraturan ketat dan mahal serta cara Jabatan Imigresen melaksanakan undang-undang menyebabkan ramai majikan masih gemar menggaji pekerja asing tanpa izin,” katanya.
Amalan Jabatan Imigresen Sabah yang “menahan dahulu sebelum meminta dokumen sah” dalam banyak operasinya mungkin menjadi salah satu punca,” kata Chew.
Tindakan sebegitu bukan hanya menyediakan ruang untuk “majikan terdesak” merasuah pegawai supaya membebaskan pekerja mereka, tetapi juga menghalang produktiviti, kata Chew lagi.
“Ini berlaku walaupun levi pekerja sudah dibayar. Bagaimana hendak berniaga bila pemaju terpaksa bimbangkan tentang tarikh tamat projek? Dan sekarang, nisbah pekerja asing tanpa izin yang levi mereka sudah dibayar di tempat kerja ialah lima orang berbanding satu pekerja tempatan ,” katanya.
Terdapat 300,000 pekerja diperlukan dalam sektor pembinaan negeri itu, sementara hampir 200,000 lagi diperlukan di sektor perladangan, dan lebih 90% pekerjaan sektor ini diisi pekerja asing.
Sabah kini menggaji pekerja Indonesia untuk bekerja di ladang perladangan dan pekerja Filipina di sektor pembinaan.
Walaupun hukuman berat dikenakan sekiranya menggaji pekerja asing, Chew berkata birokrasi melibatkan pengambilan pekerja asing tanpa izin sangat jelas.
“Terus ke mahkamah (didakwa),” katanya.
Selain daripada kertas kerja, upah ejen dan bayaran levi, kerajaan tidak boleh menjamin pekerja asing yang majikan ambil tidak akan bekerja di tempat lain, kata Chew.
“Semua bayaran dibayar terlebih dahulu kepada Jabatan Imigresen,” kata Chew yang juga menambah paling kurang, lebih daripada 200 pekerja asing diperlukan di satu tapak pembinaan.
Menurutnya, Shareda sebelum ini mencadangkan yang bayaran levi bulanan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilakukan, tetapi Jabatan Imigresen masih belum memberikan jawapan.
Walaupun mereka boleh meminta bayaran dikembalikan, kata Chew, prosesnya mengambil masa.
Minggu lepas, Jabatan Imigresen Sabah mengatakan yang operasi berkala untuk menahan pekerja asing tanpa izin akan diteruskan seperti biasa selepas berakhirnya tarikh akhir operasi E-kad pada 1 Julai.
Tetapi kerajaan negeri sudah mengarahkan jabatan itu untuk melaksanakan ‘Program Pengambilan dan Penempatan Semula” bermula dari 15 Febuari hingga 15 Ogos tahun ini.
Setiausaha DAP Sabah juga menggesa jabatan itu untuk menghentikan operasi besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin sehingga Program Pengambilan dan Penempatan Semula berakhir bulan depan.
“Inisiatif Sabah tidak sama dengan apa yang berlaku di Malaysia Barat,” katanya.
Sementara itu, pemilik ladang Clarence Chin berkata ramai pekerja tempatan tidak mahu melakukan kerja 3D.
Chew yang berkongsi pandangan yang sama berkata ramai pekerja mahir yang menamatkan pengajian di kolej teknikal tidak mahu bekerja dalam industri itu kerana ia tidak menarik.
“Saya berjumpa ramai pekerja yang layak dan mahir yang menamatkan pengajian misalnya daripada Akademi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang kini bekerja dalam bidang jualan dan sebagainya.
“Mereka berkata yang kerja (pembinaan) terlalu bahaya walaupun gajinya sebenarnya agak bagus,” tambahnya.
Katanya lagi,
Bukan sahaja mereka dibayar gaji lumayan, pekerja Cina yang dibawa ke Sabah untuk menyempurnakan projek dalam negeri itu juga diberikan faedah dan penempatan yang bagus.
“Saya pernah berjumpa seorang rakyat China yang bekerja di projek jalan raya di Sabah yang dibayar RM11,000 sebulan. Selain itu syarikat yang menggaji mereka akan menyembelih seekor khinzir sehari untuk makanan mereka,” kata Chew.
Bagi ramai pemilik kedai kopi, dasar gaji minimum dan bayaran levi yang mahal memaksa mereka menggunakan pintu belakang dengan menggaji pekerja asing tanpa izin untuk menjamin keuntungan.
Walaupun makanan mahal di Sabah, pekerja asing diambil bekerja mengikut shif, terutama sekali di waktu malam kerana operasi penguatkuasaan jarang dilakukan ketika itu.
Gaji mereka bermula serendah RM250 sehingga RM450 sebulan, berbanding gaji minimum sebanyak RM920.
Seorang pengendali kopitiam di Kota Kinabalu berkata: “Dibandingkan RM920 untuk orang tempatan atau membayar levi, gaji bulanan, makanan, penempatan dan kertas kerja imigresen. Lebih mudah mengambil pekerja asing tanpa izin,” katanya yang tidak mahu dikenali. – 17 Julai, 2017.
Komen