BERTAHUN-tahun berkhidmat sebagai doktor kemanusiaan di kampung-kampung terpencil di Borneo dan negara-negara yang dilanda krisis di seluruh dunia, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii kini beralih ke dalam bidang politik sebagai usahanya untuk mengubah dasar penjagaan kesihatan.
“Sebelum ini saya pernah bekerja di hospital dan saya tengok dengan mata saya sendiri mengenai keperluan penjagaan kesihatan yang rakyat perlukan,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
“Itu keperluan asas bagi setiap rakyat.”
Dilahirkan di Kuching, Dr Yii sebelum ini pernah menjadi pembantu Parlimen kepada bekas ahli Parlimen Stampin Julian Tan selama 31 tahun dan pembantu khas Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen. Beliau merupakan salah seorang muka baru dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Dr Yii menewaskan calon Barisan Nasional, Kho Teck Wan dengan majoriti 35,973 undi .
Sebelum pilihan raya, Dr Yii menjadi sukarelawan kerja-kerja kemanusiaan selama lapan tahun. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pengarah organisasi bukan kerajaan iaitu Malaysian Medical Fellowship, dia mana beliau memberi perkhidmatan perubatan di kampung- kampung di Sabah dan Sarawak.
Beliau terlibat dengan misi kemanusiaan ke negara-negara Asia termasuk Myanmar, Filipina, Indonesia, Thailand, India dan Malaysia. malah beliau terlibat dalam pasukan bantuan perubatan ke Filipina semasa Ribut Haiyan dan gempa bumi di Kathmandu.
“Saya terlibat dalam banyak kerja kemanusiaan, di mana kami memberi penjagaan kesihatan percuma kepada golongan miskin dan di banyak negara di Asia. Jadi, dari situlah saya mula melihat bagaimana dasar-dasar negara mempengaruhi rakyat, terutamanya orang miskin,” katanya.
Dr Yii yang lulus dari Volgograd State Medical University di Russia, menjadi ahli DAP pada 2015, tetapi mula menjadi sukarelawan dengan parti sejak 2013 lagi, iaitu terlibat dengan kerja-kerja masyarakat sivil.
Jelas beliau, pengalaman sebagai doktor terlatih sebelum menyertai politik banyak mempengaruhi agendanya.
“Merawat seorang demi seorang pesakit, adalah bagus, ia sesuatu yang saya galakkan - tetapi dasar penjagaan kesihatan yang baik memberi kesan kepada seluruh hospital, seluruh negeri, malah seluruh negara.
“Dan inilah yang memberikan saya satu perspektif baru mengenai politik dan kenapa saya mahu menjadi sebahagian daripadanya serta memberi pengaruh dalam bidang politik.”
“(Ada) pembaziran dan hingga ke satu tahap, rasuah.
“Banyak peruntukan yang sepatutnya untuk hospital, klinik malah untuk rakyat telah dibazirkan kerana orang tengah dan kontrak berat sebelah.
“Akibatnya rakyat yang menderita,” katanya.
Selain daripada mengkaji dasar penjagaan kesihatan tempatan dan negara, Dr Yii berkata beliau bersama-sama ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lain akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula undang-undang berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kami perlu berjuang dan kembalikan hak penuh negeri,” kata Dr Yii.
Sebagai ahli Parlimen yang pertama kali menyertai persidangan Parlimen, beliau juga berharap “untuk memulakan budaya baik” di mana ahli-ahli Parlimen pembangkang harus dilayan dengan adil dan diberi peluang untuk mengajukan masalah di kawasan mereka.
Menjadi sebahagian daripada “Malaysia Baru” katanya, bermakna menanamkan amalan demokrasi yang lebih baik di Parlimen, termasuk membenarkan pembangkang menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
“Kita tak sepatutnya membiarkan mereka (pembangkang) dilayan sama seperti kita dilayan dahulu, kerana kita akan mulakan budaya baru,” katanya.
“Dan kita akan pastikan pembangkang tidak perlu melalui pengalaman yang kita lalui dahulu.” – 15 Julai, 2018.
Komen