TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak akan mengharamkan penggunaan aplikasi sembang Telegram kerana mendapati ia tidak mengandungi elemen jenayah atau keganasan.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri dan polis unit anti keganasan sudah mengkaji aplikasi itu dan mendapati ia tidak mengandungi elemen jenayah atau keganasan.
“Kami tidak akan menceroboh privasi pengguna tetapi itu tidak bermakna kami akan lepas tangan. Kami akan teruskan dengan pemantauan berdasarkan kepada beberapa kaedah lain,” katanya.
Pada Jumaat, Indonesia mengharamkan penggunaan perkhidmatan mesej Telegram, kerana bimbang ia digunakan untuk menyebarkan propaganda radikal dan pengganas di negara itu.
Langkah itu diambil ketika semakin ramai pihak yang bimbang berhubung peningkatan pengaruh pengganas IS di Asia Tenggara.
Zahid berkata kerajaan mempunyai kaedah lain untuk memantau rakyatnya dan aplikasi yang digunakan IS sebagai alat propagandanya.
“Kami menggunakan kaedah pengekodan untuk mengenal pasti jika sesuatu platform itu ada kaitan dengan IS,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mengenal pasti tiga platform yang digunakan IS untuk menyebarkan propaganda mereka.
Ia termasuk aplikasi mesej WhatsApp, laman media sosial Instagram dan saluran video YouTube.
“Saya tidak tahu yang mana paling kerap digunakan kerana saya tidak ada data,” katanya ketika ditanya mana satu paling banyak digunakan IS antara tiga platform itu.
Malaysia sebelum ini mendakwa beberapa individu di mahkamah atas kesalahan merekrut ahli baharu IS menggunakan aplikasi Telegram.
Pada Mac, unit anti keganasan menahan sembilan individu termasuk guru sekolah rendah kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan Telegram digelar Gagak Hitam.
Ahli kumpulan itu mengumpul dan menyalurkan dana untuk IS. Ia juga ada kaitan dengan serangan di kelab Movida, serangan pertama dilancarkan IS di Malaysia.
Tiada yang maut dalam insiden itu tetapi cukup untuk mencetuskan ketakutan dalam masyarakat. – 16 Julai, 2017.
Komen