KERAJAAN sepatutnya menetapkan garis panduan yang lebih jelas mengenai peranan sektor swasta dan awam dalam menyediakan perumahan mampu milik untuk kumpulan M40 dan B40 supaya persaingan tidak perlu dapat dielakkan, kata Rehda Institute, sebuah badan pemikir isu hartanah dan perumahan negara.
Pengerusi Rehda Institute Jefferey Ng berkata, kekurangan penyeliaan antara pelbagai pembekal rumah mampu milik daripada kerajaan dan swasta menyebabkan kepincangan hala tuju industri perumahan negara dan kekurangan bekalan perumahan mampu milik.
“Perlu ada dasar baharu yang secara efektif menghapuskan perancangan tidak produktif,” kata Ng pada taklimat media mengenai perumahan mampu milik di Petaling Jaya.
Bagi menangani isu tersebut, Ng mencadangkan pembentukan agensi pusat tugas khas (SPCA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, ini penting bagi memberikan panduan jelas mengenai peranan yang lebih menyeluruh sektor awam dan swasta dalam menyediakan perumahan mampu milik.
Ng berkata pembentukan SPCA akan membantu kumpulan B40 dan M40.
“Hutang isi rumah semakin berkembang dan tidak berfokus. Wujud perubahan dalam hutang tidak produktif kepada hutang produktif (pinjaman perumahan).
“Perlu ada penyelesaian segar untuk menangani isu bayaran pendahuluan dan pembiayaan untuk peminjam.
“Perancangan kewangan yang baharu untuk membantu sektor awam membina lebih banyak perumahan mampu milik diperlukan,” katanya.
Menurut institut itu, pada suku pertama tahun ini jumlah rumah tidak terjual adalah 23, 599 unit dan 14,739 unit (62.5%) adalah rumah di bawah harga RM500,000.
Ng berkata kelulusan berdasarkan kuota dan kawalan harga tidak banyak memberi manfaat kepada kumpulan B40 dan M40.
“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menurunkan kos tanah awam dan sektor swasta patutnya membekalkan rumah mampu milik tanpa kawalan harga.
“Sektor swasta kemudiannya membuat bayaran dalam bentuk sumbangan khas industri untuk subsidi sewa atau perumahan awam untuk B40.”
Institut juga mendapati secara puratanya RM2 bilion dibelanjakan untuk perumahan mampu milik dalam Bajet Persekutuan tetapi bekalan masih bermasalah.
Ng berkata perumahan mampu milik tidak mampu mandiri dengan anggaran subsidi RM120,000 untuk setiap unit bagi setiap perumahan awam yang terjual.
“Kerajaan perlu bina perumahan awam untuk M40 dalam rangka kemampuan setiap negeri.
“M40 yang tak mampu beli boleh sewa dan sebaliknya untuk mereka yang mampu.”
Institut itu juga mendapati B40 dan M40 tidak mampu membayar harga median.
Ng berkata menurut Bank Negara Malaysia terdapat 23.1% penolakan permohonan pinjaman.
“Ada juga pembeli yang tak mampu keluarkan bayaran pendahuluan.
“M40 ada kemampuan untuk bayar pinjaman tetapi tidak boleh bayar bayaran pendahulan.
“Perlu ada margin pinjaman yang lebih rendah dengan sokongan ibu bapa untuk bayaran pendahuluan dan insentif negatif untuk ibu bapa yang memajak aset mereka.
“Bantuan lain termasuklah pengecualian duti cukai, mengurangkan kos guaman dan subsidi kadar pajakan yang lebih rendah.” – 14 Julai, 2018.
Komen