Najib duduk di mana di Dewan Rakyat?


Chan Kok Leong

Najib Razak tidak sama dengan bekas perdana menteri lalu kerana beliau yang pertama kalah dalam pilihan raya umum serta didakwa atas pertuduhan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2018.

NAJIB RAZAK bukan lagi ketua Barisan Nasional (BN). Beliau juga bukan pemimpin tinggi Umno.

Atas kedudukannya sekarang, di manakah bekas perdana menteri itu akan ditempatkan apabila Parlimen bersidang Isnin ini?

“Najib tidak sama dengan perdana menteri yang lepas. Beliau perdana menteri pertama kalah pilihan raya umum dan didakwa dengan jenayah pecah amanah,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.

Selebihnya, Mazlan berkata beliau bukan lagi presiden Umno atau pemimpin parti Melayu itu di peringkat pusat, walaupun Umno kelihatan membela Najib yang berdepan tuduhan jenayah termasuk dengan menganjurkan rapat umum dan mengutip dana untuknya.

“Saya fikir beliau mungkin duduk di barisan kedua,” kata Mazlan.

“Akan jadi janggal sekiranya beliau ditempatkan di barisan pertama.”

Pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga merasakan Najib akan ditempatkan di barisan kedua.

“Barisan pertama lazimnya dikhususkan untuk pemimpin kanan Umno yang memegang jawatan seperti Zahid (presiden Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalannya serta naib-naib presiden,” katanya.

Hanya dua naib presiden merupakan ahli Parlimen iaitu Mahadzir Khalid (Padang Terap) dan Ismail Sabri (Bera) manakala timbalan presiden Mohamad Hassan dan seorang lagi naib presiden Khaled Nordin bukan ahli Parlimen.

“Sekiranya Najib ditempatkan di barisan kedua, maknanya Umno sudah menyusun semula strategi Parlimennya,” kata Tunku Mohar.

Secara tradisi, kerusi pertama di bangku kerajaan (di bahagian kanan yang paling dekat dengan speaker) akan diduduki oleh perdana menteri sebagai ketua kerajaan.

Selepas PM, bangku kerajaan akan diisi oleh anggota jemaah menteri dengan portfolio utama seperti dalam negeri, kewangan, ekonomi dan pertahanan di depan.

Di bangku pembangkang di seberang (di sebelah kiri speaker), kerusi pertama dikhaskan untuk ketua pembangkang, yang dijangka akan diduduki oleh Zahid, bekas timbalan perdana menteri yang juga pengerusi BN.

Mengikut konvensyen Parlimen, susunan kerusi di blok pembangkang dibuat berdasarkan parti yang mempunyai banyak kerusi di depan, diikuti parti yang lebih kecil.

Berdasarkan keputusan PRU14, turutannya ialah BN (54) diikuti Gabungan Parti Sarawak (19) dan PAS (18). Warisan yang mempunyai lapan kerusi di Dewan Rakyat tidak menyertai Pakatan Harapan tetapi menyokong kerajaan itu di peringkat Persekutuan.

Tidak seperti sidang Parlimen penggal ke-12 dan ke-13, Mazlan tidak jangka akan ada ahli Parlimen dari GPS atau PAS yang duduk di barisan depan.

Dalam Pakatan Rakyat pada masa itu sudah ada kerjasama yang membolehkan mereka meminta susunan kerusi yang lain.

“Selepas kehilangan semua parti komponen di Sabah dan Sarawak, BN tidak membuat apa-apa percaturan dengan parti pembangkang lain. Kalau kita nampak Presiden PAS Abdul Hadi Awang duduk di sebelah Zahid, maknanya dua parti itu akan bekerjasama di Parlimen,” kata peneliti politik pantai timur itu.

Pada 2013, konvensyen susunan kerusi di Parlimen tidak dituruti apabila Pakatan Rakyat membuat permintaan khas kepada pejabat Parlimen untuk menyusun sendiri kedudukan wakil rakyatnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Anwar Ibrahim, yang ketika itu ketua pembangkang, duduk paling depan diikuti Hadi, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dari DAP. Kerusi lain disusun mengikut kedudukan kanan dalam parti.

Mazlan berkata kerusi Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat juga menarik untuk diperhatikan.

“Dalam pemilihan parti baru-baru ini, Khairy dapat sokongan yang besar (61 bahagian) dan walaupun Zahid menang (99 bahagian), pemimpin muda itu tidak boleh diketepikan.

“Untuk mengiktiraf sokongan Khairy dalam parti, beliau patut ditempatkan di kerusi depan. Prestasinya dalam pemilihan parti menunjukkan banyak ahli Umno yang mahukan pembaharuan dalam parti itu.”

Mazlan berkata elok juga BN meletakkan Khairy yang muda untuk menghadapi menteri dan penyokong kerajaan Pakatan Harapan yang juga relatifnya muda. – 14 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen